'Cicak' dalang kes pecah rumah dicekup

Iklan
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan terbabit dan peralatan yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah. Gambar kecil: Md Nazri

MELAKA - Seorang lelaki berusia 42 tahun yang aktif melakukan jenayah pecah rumah secara solo di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah sejak tahun ini berjaya dicekup polis minggu lalu.

Lelaki yang dikenali sebagai 'Cicak' disyaki terlibat dalam 22 kes pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM150,000 berjaya diberkas di sebuah bilik hotel di Taman Angkasa Nuri, Batu Berendam, di sini pada 16 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, pemeriksaan dalam bilik terbabit turut menemui pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas dan pakaian berjenama dipercayai milik mangsa rompakan.

"Suspek diberkas sepasukan polis dari Bahagian Risikan,Operasi, Rekod Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah.

Iklan

"Soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah dengan modus operandinya menyasarkan rumah-rumah yang dipercayai tidak berpenghuni sebelum menceroboh masuk," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, dalam serbuan itu polis turut merampas barangan kemas termasuk 11 bentuk cincin, empat utas rantai leher, gelang tangan dan dua bentuk subang.

Iklan

Menurutnya, selain itu pihaknya turut menemui 10 unit telefon bimbit, 10 beg pakaian, satu komputer riba, sejumlah resit tukaran mata wang asing, pakaian berjenama dipercayai milik mangsa dan sebuah motosikal jenis jenis Yamaha Y15.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut juga menemui sebuah beg hitam yang mengandungi satu plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 5.34 gram dan keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM150,000.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

"Suspek turut mempunyai sebanyak 10 rekod lampau pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan pecah rumah," ujarnya lagi.

Suspek kini direman selama 10 hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pecah rumah," katanya lagi.