KEMENTERIAN Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah melaksanakan Kajian Profi l Membaca Rakyat Malaysia sebagai indikator dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan sebagai asas pengukuran negara maju.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hasil kajian tersebut penting untuk memberi maklum balas terhadap kadar pembacaan rakyat Malaysia pada masa sekarang agar seimbang dengan kadar literasi iaitu 97 peratus mengikut standard Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifi k Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO).
Menurutnya, kementerian melalui PNM telah melaksanakan beberapa siri Kajian Profi l Membaca Rakyat Malaysia bagi melihat kadar pembacaan dan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Melalui kajian tersebut didapati, rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskah pada tahun 2005, 15 naskah pada tahun 2014 dan terkini adalah 24 naskah pada tahun 2023. Kadar minat membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 peratus.
"Jumlah naskah pembacaan dalam tempoh setahun menunjukkan rakyat Malaysia membaca sebanyak 24 naskah merangkumi 16 naskah bahan bercetak dan lapan naskah bahan digital,” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, KPN melalui PNM telah menganjurkan Majlis Perasmian Karnival Baca Perdana 2024 dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur.
Aaron berkata, jumlah itu dilihat telah meningkat berbanding sekurang-kurangnya dua naskah pada tahun 2005 dan 15 naskah pada tahun 2014.
"Kajian ini juga mendapati bahawa rakyat Malaysia memperuntukkan masa untuk membaca selama sembilan jam 22 minit seminggu serta membuat pembelian bahan bacaan antara satu hingga lima naskah setahun,” katanya.
Ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi
Menurut Aaron, merujuk kepada Kajian Profi l Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023, didapati bahawa 69.9 peratus rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.
"Penemuan ini merupakan indikator positif ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi, setanding dengan negara-negara maju yang lain.
"Kajian menunjukkan bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia gemar membaca di kedai buku (57.7 peratus) dan di restoran atau kafe siber (24.5 peratus).
"Sehubungan itu, saya menggesa agar lebih banyak pusat membeli-belah menyediakan ruang membaca serta memperbanyakkan kedai buku bagi memenuhi minat dan keperluan pembaca,” katanya.
Beliau berkata, pendigitalan telah memberi impak besar terhadap tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Dengan kemajuan teknologi dan akses kepada internet yang semakin meluas, cara dan bentuk membaca telah mengalami transformasi yang ketara.
"Rakyat kini lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat secara pantas dan mudah di hujung jari,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata, PNM tentunya tidak ketinggalan dalam menuju fasa perubahan ini dan mula menyediakan perkhidmatan digital sejak tahun 2011 yang boleh diakses melalui portal u-Pustaka (www.u-pustaka.gov.my) secara 24/7 oleh rakyat Malaysia di seluruh negara.
"Inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk membaca, tanpa ada golongan yang terpinggir.
"Lebih 900,000 kandungan digital daripada 20 pangkalan data tersedia dalam portal ini, merangkumi e-buku, e-jurnal, e-artikel, e-pembelajaran, e-majalah, dan e-surat khabar,” katanya.
Beliau berkata, ahli u-Pustaka yang berdaftar akan memperoleh akses maklumat dengan mudah, cepat dan tepat pada bila-bila masa yang diperlukan.
Sehingga Ogos 2024 keahlian u-Pustaka adalah seramai 712,393 orang.
Ketika ini, terdapat 11 perpustakaan digital di bawah bidang kuasa Perpustakaan Awam Negeri dan universiti iaitu:
- Penang Islamic Digital Library (Pulau Pinang)
- Padang Tembak Digital Library (Pulau Pinang)
- Perpustakaan Digital Tasik Gelugor (Pulau Pinang)
- Perpustakaan Digital Butterworth (Pulau Pinang)
- Perpustakaan Digital Batu Maung (Pulau Pinang)
- Perpustakaan Digital Negeri Kedah
- Siti Hasmah Digital Library (MMU)
- Tun Abdul Razak Digital Library (Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia)
- Perpustakaan Digital UPSI (Tanjung Malim)
- Tan Sri Dr. Abdullah Sanusi Digital Library (Open University, Petaling Jaya)
- Pustaka KL Digital Madani@Bandar Sri Permaisuri (Perpustakaan Kuala Lumpur-DBKL)
"Sehubungan itu, kementerian melalui PNM sedang menyediakan satu garis panduan berkaitan perpustakaan digital untuk rujukan oleh semua perpustakaan di Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, antara inisiatif bagi menarik minat anak muda mendekati perkhidmatan digital, PNM telah menjalinkan kerjasama dengan 12 konsortium bersama Perpustakaan Awam Negeri bagi membolehkan pinjaman buku secara fi zikal dan secara digital (dalam talian).
"PNM turut berkolaborasi bersama 155 ahli konsortium Katalog Induk Kebangsaan (KIK) yang terdiri dari PNM, Perpustakaan Awam Negeri, Perpustakaan Khusus Gunasama, Perpustakaan Akademik (Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta) serta perpustakaan pihak swasta bagi memudahkan perkongsian sumber perpustakaan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak lima cadangan inisiatif transformasi perkhidmatan perpustakaan yang dicadangkan antaranya Pendigitalan Koleksi Khazanah Warisan Negara, Perkhidmatan Metaverse Space PNM dan Galeri Maya Kebitaraan Malaysian.
"Cadangan lain ialah Pembangunan Teknologi Robotik dalam perkhidmatan perpustakaan dan Pembangunan Aplikasi Mudah Alih SuperApps PNM,” katanya.
Beliau berkata, sehingga Ogos 2024, statistik bagi kumulatif koleksi di PNM boleh dipecahkan kepada beberapa kategori iaitu bahan bercetak (6,270,202), bahan bukan bercetak (98,438), manuskrip asal (5,978) dan bahan digital (132,705).
"Sebanyak 73,409 judul telah didigitalkan dengan jumlah muka surat sebanyak 4,259,461,” katanya.
Menghargai kepelbagaian dalam masyarakat
Aaron berkata, amalan membaca mempunyai kaitan yang erat dengan perpaduan di Malaysia antaranya meningkatkan pemahaman akan budaya yang berbeza.
"Dengan membaca, masyarakat dapat memahami latar belakang budaya, tradisi dan sejarah pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini akan membantu antara satu sama lain untuk meningkatkan rasa hormat serta menghargai kepelbagaian yang ada dalam masyarakat negara kita.
"Dalam sesebuah buku semestinya mengandungi pelbagai tema yang dapat menyentuh hati dan fi kiran pembaca.
"Membaca juga dapat memupuk kesedaran hak dan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia, membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan memahami kepentingan perpaduan serta mencipta suasana negara yang lebih aman dan makmur,” ujar Aaron.
Cabaran dalam meningkatkan amalan membaca
Aaron berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam meningkatkan amalan membaca adalah kebanyakan generasi muda tidak mempunyai kesedaran dan kepentingan membaca serta manfaatnya untuk perkembangan diri.
"Untuk meningkatkan kesedaran dan minat ini, program literasi awal harus diperkenalkan di sekolah dan komuniti, contohnya program yang dianjurkan oleh PNM sesi Bacaan Kegemaran Saya yang melibatkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang.
"Hal ini membantu memupuk minat mereka terhadap buku dan menunjukkan bagaimana membaca boleh memberi pengalaman yang menyeronokkan dan mendidik,” tambah Aaron.
Beliau berkata, kekurangan interaksi sosial juga menjadi punca cabaran dalam meningkatkan amalan membaca.
"Generasi muda merasa membaca adalah aktiviti yang membosankan dan tidak interaktif. Untuk mengatasi isu ini, PNM telah memperkenalkan program Kembara Ilmu di mana program ini telah menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau berkata, sebagai usaha berterusan bagi memupuk budaya membaca kepada semua lapisan masyarakat, pelbagai program telah dilaksanakan.
Statistik PNM menunjukkan, sepanjang tahun 2023 sehingga Ogos 2024, sebanyak 102,813 program pembudayaan galakan membaca telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan penyertaan PNM, Perpustakaan Desa, Perpustakaan Komuniti dan
Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan jumlah penyertaan seramai 3,748,409 orang.
Antara program utama yang dirancang dan dilaksanakan pada tahun 2024 seperti:
- Jom Baca Bersama 10 Minit 2024 (April 2024)
- Program Kembara Ilmu (Mei 2024)
- Pertandingan Membaca Nyaring (Pra Sekolah) (Jun 2024)
- Program ‘Dariku Untukmu’ dan Majlis Pelancaran Bank Buku (Julai dan Ogos 2024)
- Program Semarak Jawi 2024 dan Kem Bestari Jawi (Ogos 2024)
- Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita (Ogos 2024)
- Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu (PAMM 2024) (September 2024)
- Karnival Baca Perdana (Oktober 2024)
Aaron berkata, dapatan Kajian Profi l Membaca juga antaranya menunjukkan melalui programprogram galakan membaca yang dijalankan oleh PNM, mendorong kepada seseorang untuk lebih berminat membaca, memperuntukkan lebih banyak masa untuk membaca dan menjadikannya sebagai hiburan serta mengisi masa lapang.
Justeru, dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan budaya membaca dan mempunyai minda kelas pertama, KPN akan berterusan melaksanakan banyak program baharu yang memberi impak kepada peningkatan tahap membaca rakyat Malaysia.
"Antara program baharu yang dirancang adalah Kem Citra Baca iaitu berbentuk aktiviti sosial, memperkenalkan Ikon Pembaca Kebangsaan baharu dan melantik Tokoh Pembaca Kebangsaan yang pertama,” kata Aaron.