Pekerja warga Bangladesh maut terjatuh lubang aliran udara

Iklan
Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari ketinggian 18 meter ketika menjalankan kerja pada struktur bumbung lubang aliran udara di sebuah tapak pembinaan pada Isnin. - Gambar hiasan

KEPALA BATAS - Seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh dari ketinggian 18 meter ketika menjalankan kerja pada struktur bumbung lubang aliran udara di sebuah tapak pembinaan di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, kejadian berlaku pada jam 9.40 pagi membabitkan mangsa warga Bangladesh yang berusia 22 tahun maut di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa merupakan pekerja am dari syarikat sub kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja- kerja membuka 'formwork' yang berada pada struktur bumbung lubang aliran udara.

"Ia terletak pada bangunan yang dikenali sebagai 'dog house' untuk para pekerja di tapak pembinaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, mangsa dilaporkan telah terjatuh daripada lubang aliran udara berketinggian kira-kira 18 meter semasa sedang menjalankan kerja-kerja membuka 'formwork' pada 'dog house' tersebut.

"Mangsa telah dijumpai di aras bawah bersama sekeping 'plywood' yang jatuh bersama mangsa. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja melibatkan semua struktur aliran udara pada bangunan di kawasan kejadian di tapak pembinaan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.

Hairozie berkata, pihaknya telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP.

"Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi semua saksi yang telah dikenalpasti. Lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil juga akan dilaksanakan.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," tambahnya.

Jelas beliau lagi, majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Kita sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini," katanya.