Pengurusan tertinggi GISBH tiba di mahkamah

Iklan
Pengurusan tertinggi GISBH dan isteri antara 22 individu yang akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

SELAYANG - Pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri antara 22 individu yang akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Sebahagian besar mereka yang memakai baju jubah, tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi dengan diiringi pihak polis.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, semua individu itu akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.

Sejak jam 7 pagi, media mula berkumpul dan pihak keselamatan hanya membenarkan media dan orang awam yang mempunyai urusan, masuk ke kawasan ini pada jam 8.15 pagi.

Iklan

Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah turut hadir bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

Sementara itu, seorang peguam yang mewakili GISBH berkata, lima anggota tertinggi pertubuhan itu, termasuk pengerusi dan ketua pegawai eksekutif merupakan antara yang didakwa.

Iklan

Timbalan pendakwa raya yang akan mengendalikan kes itu juga, tiba di mahkamah.

Pada 10 Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.