Biar betul air mineral saiz kecil RM10?

Iklan
Perkongsian seorang pengguna berkenaan ketidakpuasan hatinya apabila dikenakan caj RM10 bagi sebotol air mineral bersaiz kecil

PORT DICKSON - Seorang pengguna terkejut apabila perlu membayar RM10 bagi sebotol air mineral bersaiz kecil di sebuah kedai makan dekat sini.

Wanita berkenaan yang berkongsi perkara itu di media sosial pada Selasa, bagaimanapun tidak memaklumkan saiz sebenar air mineral terbabit.

Iklan
Iklan

Dia memaklumkan telah mempersoalkan mengenai harga itu kepada pemilik premis, namun alasan diberi harga air mineral berkenaan mahal kerana jenamanya.

"Assalamualaikum nak tanyalah...mineral water sebotol RM12...terkejut aku ni ha...cakap dengan owner, dekat kedai serbaneka tidak sampai RM10.

Iklan

"Dia kata tidak mengapalah dia bagi RM10. Dia tak tahu harga staf dia beli. Staf dia kata air ini jenama baik punya. Aku ini kaki minum mineral, tiadalah harga sampai RM12 sebotol cik oi," tulisnya.

Di ruangan komen, wanita berkenaan turut memberitahu perkara terbabit hanya diketahui apabila dia mahu membayar keseluruhan bil sebaik selesai makan di situ.

Iklan

Perkongsiannya telah mendapat pelbagai reaksi warga maya yang turut terkejut dan meminta perkara tersebut dibuat aduan kepada pihak berwajib.

Ada yang berkata, harga air mineral bersaiz kecil untuk jenama berkenaan biasanya hanya sekitar RM2.50 saja.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya akan mengarahkan pemeriksaan lanjut di premis terbabit bagi mengenal pasti kesahihannya.

"Jika berlaku sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturan yang sedang berkuat kuasa, kita boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan tertakluk kepada siasatan yang akan dijalankan kelak.

"Secara umumnya air mineral bersaiz 500 milimeter ini harga pasaran biasa, sekitar RM1 hingga RM1.50 saja dan jika benar RM10 dikenakan, ada bukti resit, kita boleh ambil tindakan kepada penjual," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut berpandangan harga RM10 bagi sebotol air mineral bersaiz kecil bukan saja tidak munasabah, tapi juga tidak masuk akal.