Tuduhan berat, dibuat sebelum proses semakan dalaman - Pengurus Besar Nafas

Iklan
Faris Arriffin

SHAH ALAM - Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Faris Arriffin mendakwa tuduhan yang dikemukakan terhadap dirinya berhubung dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu dibuat sebelum sebarang proses semakan dalaman dimulakan.

Dalam masa sama, beliau turut menafikan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Faris memberitahu, beliau mengambil maklum berkenaan kenyataan media yang dibuat oleh beberapa Ahli Jemaah Pengarah Nafas.

"Namun, sepanjang tempoh kepimpinan saya, setiap inisiatif yang dilaksanakan di Nafas adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan, dan akauntabiliti.

Iklan

"Keputusan untuk mengeluarkan kenyataan ini sebelum memulakan proses dalaman yang sewajarnya telah memberi kesan kepada perkembangan reformasi ini,"ujarnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Tambah Faris, beliau akan sentiasa menegakkan prinsip tadbir urus yang baik.

Iklan

"Perkara itu adalah menjadi keutamaan dan saya yakin Nafas akan terus beroperasi dengan integriti demi kepentingan semua pihak dan para pemegang taruh," katanya.