KOTA KINABALU - Keputusan kerajaan negeri menarik diri sebagai pengelola secara bersama Sukan SEA 2027 berikutan kekurangan kemudahan yang bersesuaian merupakan satu kerugian kepada Sabah dalam pelbagai aspek.
Timbalan Ketua Negeri Pejuang Sabah, Razif Abdillah berkata, alasan kekurangan kemudahan yang bersesuaian untuk menganjur kejohanan yang berprestij itu mengambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan khususnya dalam pembangunan sukan selama ini.
Menurutnya, kesediaan itu sepatutnya sudah lama ada sekiranya pentadbiran dalam pembangunan kemudahan sukan diberi penekanan dan perhatian serta mempunyai pelan jangka panjang yang efektif oleh kerajaan kini dan sebelumnya.
"Sukan adalah medium di mana anak muda berkecimpung seterusnya tempat persaingan bakat yang akan membuka laluan untuk ke peringkat seterusnya.
"Peluang yang terhidang ini bukan selalu diperoleh namun akibat kurang peka terhadap pembangunan kemudahan fasiliti sukan maka ia adalah kerugian menyeluruh untuk negeri Sabah dan warganya.
"Kami rakyat Sabah faham dengan kekangan dan ia mungkin norma biasa untuk menganjak kepada sesuatu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga merupakan bekas atlet bola tampar Sabah berkata, terdapat perbandingan nyata apabila hanya mampu melihat kerajaan Sarawak sangat mengalu-alukan dan menunjukkan kesediaan yang tinggi sebagai rakan penganjur bersama temasya sukan tersebut.
"Adakah kita boleh menyatakan dengan jelas yang Sabah sangat ketinggalan dengan Sarawak, lalu apakah aspirasi pimpinan kini dan sebelum ini terhadap perkara sebegini?
"Saya tidak ingin mengulas panjang kepada isu lain yang berkait dengan kemajuan Sabah kerana pasti ia sesuatu yang menyedihkan.
"Tetapi ini bukan saja kerugian kepada atlet Sabah yang tersenarai untuk bertanding kelak, namun kerugian kepada peminat sukan tempatan untuk melihat secara langsung perlawanan berprestij tinggi di peringkat Asia Tenggara.
"Paling utama adalah kerugian dalam sektor lain seperti industri perhotelan, makanan dan juga pelancongan yang terlepas begitu saja akibat kelemahan nyata daripada pengurusan pentadbiran sukan," katanya.
Sehubungan itu, Razif berharap adanya tindakan drastik yang perlu dimulakan khususnya oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui kerajaan negeri dalam merangka persiapan untuk temasya sukan yang berskala besar akan datang.
Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan perkara itu dalam Dewan Rakyat pada Selasa.