SEKTOR pembinaan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.3 peratus dalam tempoh tiga suku pertama, setakat September tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertumbuhan itu menandakan pertama kali dua angka dapat dicapai sejak 2014 sekali gus mencerminkan kapasiti industri dalam mengatasi cabaran dan tampil dengan lebih kukuh.
"Semasa pandemik, industri menghadapi cabaran besar iaitu menghentikan pembinaan dan mengganggu rantaian bekalan.
"Akibatnya, sektor ini menguncup sebanyak 19.3 peratus pada 2020 dan 5.1 peratus pada 2021. Bagaimanapun, melalui usaha pemulihan strategik, sektor pembinaan menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 5 peratus pada 2022 dan 6.1 peratus pada 2023
"Pertumbuhan yang luar biasa ini juga mempunyai manfaat yang meluas untuk ekonomi Malaysia.
"Lonjakan dalam aktiviti pembinaan akan membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh pelaburan domestik dan asing, memacu pembangunan infrastruktur dalam negara dan melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri pembinaan dalam rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mewakilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024 di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, beliau mendapati terdapat kekurangan tenaga kerja mahir dan komited untuk menangani perkara itu melalui program latihan yang mantap dan inisiatif peningkatan kemahiran.
"Setakat September 2024, lebih 1.12 juta kakitangan telah berdaftar dengan CIDB.
"Pada masa yang sama sektor pembinaan juga sedang mengembangkan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) untuk memastikan tenaga kerja dilengkapi kemahiran dalam mengendalikan teknologi canggih, seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik,” katanya,
Tambahnya, dengan cara ini, Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir.
Jelas beliau, dengan harga tender yang dijangka meningkat, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan industri pembinaan kekal berdaya saing dan mampan.
"Dengan mempertingkatkan perkongsian awam-swasta (PPP), kami memacu projek infrastruktur utama, seperti projek Link Road Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 2, penambahbaikan Lebuhraya Pan-Borneo dan pembangunan pusat data di Johor.
"Inisiatif ini akan memastikan sektor kami kekal berdaya tahan di tengah-tengah peningkatan kos," ujarnya.
Selain itu Nanta berkata, kerajaan komited untuk terus melabur banyak dalam amalan pembangunan hijau dan infrastruktur rendah karbon sejajar dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).