TVET diperluas pastikan tenaga kerja mampu kendali teknologi canggih - PM

Iklan
Kerajaan akan memastikan tenaga kerja Malaysia mampu mengendalikan teknologi canggih seperti AI dan robotik. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan tenaga kerja Malaysia mampu mengendalikan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menyatakan kemajuan teknologi sahaja tidak mencukupi dan mengakui kekurangan tenaga kerja mahir, beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani isu berkenaan melalui program latihan yang mantap dan inisiatif peningkatan kemahiran.

Iklan
Iklan

"Inilah cara Malaysia akan terus memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja mahir,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024 di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Iklan

Setakat September 2024, Anwar berkata, lebih 1.12 juta kakitangan telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang merupakan bukti profesionalisasi tenaga kerja.

Mengenai program berkenaan, Perdana Menteri berkata, tema Envisioning the Future of Construction, bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga merupakan seruan jelas untuk memanfaatkan peluang besar bagi sektor pembinaan Malaysia dan ekonomi yang lebih luas.

Iklan

Beliau berkata, dunia berada di puncak era baharu dalam pembinaan dengan pendigitalan, kelestarian dan kerjasama akan menjadi pemacu utama kejayaan.

"Bersama-sama kita boleh memastikan Malaysia bukan sahaja kekal sebagai peneraju serantau tetapi muncul sebagai kuasa global dalam pembinaan, menetapkan piawaian untuk inovasi dan kecemerlangan," katanya.

Acara anjuran CIDB malaysia, Kementerian Kerja Raya dan Qube Integrated yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, dijangka menarik 15,000 pengunjung termasuk peneraju industri dan inovator dari seluruh dunia.

Menurut CIDB, BuildXpo 2024 menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada pemain industri terkemuka, dengan 500 reruai dan 200 peserta pameran memenuhi ruang pameran berkeluasan hampir 10,000 meter persegi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain pameran, ICW 2024 turut menganjurkan siri persidangan, termasuk Sidang Kemuncak Bandar Masa Depan dan Conference on Conflict Avoidance and Dispute Resolution.