KUALA PILAH - Seorang pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia pada Selasa selepas lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan di Kilometer 29 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Taman Pemarak, Tanjong Ipoh di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, kejadian pada jam 3.15 petang 18 Oktober lalu itu menyebabkan mangsa, Ammar Zaquan Khairul Izwan,14, parah di bahagian kepala.
"Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga FL dipandu lelaki berusia 68 tahun yang ketika itu dari arah Melang ke Seremban.
"Ketika kejadian, mangsa sedang melintas jalan di Taman Pemarak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi Selasa semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.
"Pemandu kereta yang terlibat telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Pilah pada hari yang sama kejadian berlaku untuk membuat laporan polis dan membantu siasatan.
"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan turut menzahirkan ucapan takziah pada keluarga Allahyarham.
"ÄLLAH lebih menyayangi...baru sahaja ziarah beliau rasanya di HTAN Kuala Pilah. Mendapat khabar berita Ammar Zaquan telah kembali ke rahmatullah pagi tadi (Selasa). Al- Fatihah mohon dibaca dan difidyah khusus buat beliau," tulisnya di Facebook miliknya.