KPDN rampas 13.8 juta liter diesel subsidi cuba diseleweng

Iklan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 13.8 juta liter diesel bersubsidi dengan anggaran melebihi RM31 juta dirampas dalam tempoh Januari hingga 19 Oktober lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan itu diperoleh menerusi Ops Tiris 3.0 yang menyaksikan sebanyak 30,634 pemeriksaan dilakukan dan menghasilkan 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel.

Iklan
Iklan

"Selain itu, setakat Januari hingga Oktober 2024, KPDN telah membuka sebanyak enam kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"KPDN juga melaksanakan pembatalan dan penggantungan lesen barang kawalan berjadual melibatkan penjualan diesel pada peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Iklan

"Pada tahun 2023, KPDN telah mengambil tindakan kepada tiga syarikat kerana pelbagai kesalahan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang memintanya menyatakan sama ada KPDN bercadang untuk mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi.

Iklan

Mengulas lanjut, Armizan berkata, KPDN juga memperkasa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain mengambil kira bidang kuasa perundangan yang berkaitan.

Menurutnya, operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain agensi telah dilaksanakan melalui Ops Tiris.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Roy Angau mengenai sama ada kementeriannya bercadang untuk melaksanakan advokasi di kawasan rumah panjang dan perkampungan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi, Armizan berkata, syor itu akan dibawa ke kabinet.