JOHOR BAHRU - Malaysia akan terus menjadi pilihan kapal dagang berlabuh kerana mempunyai pelabuhan yang cekap dan geografi semula jadi di tengah-tengah Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, negara tidak akan terjejas meskipun terdapat cadangan pembangunan Jambatan Darat Chumpon-Ranong (CRLB) di Thailand, bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka.
"Kita tidak perlu bimbang (cadangan Thailand), kerana negara mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi berada di tengah-tengah Selat Melaka dan Laut China Selatan yang merupakan laluan perairan paling sibuk di dunia.
"Selain itu, negara juga mempunyai banyak pelabuhan di Selat Melaka dari Johor sampai ke Pulau Pinang dengan tiga pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang. Malah ada beberapa pelabuhan yang dirancang pihak swasta.
"Jadi kita tidak perlu terlalu bimbang dengan persaingan negara lain. Sudah tentu akan ada persaingan, namun negara perlu yakin dengan kelebihan (pelabuhan) kita sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik ASEAN, di sini, pada Rabu.
Sehubungan dengan itu, Anthony menggesa agar kecekapan pelabuhan negara diberikan fokus termasuk penggunaan teknologi baharu bagi memastikan pelabuhan negara terus menjadi pilihan kapal antarabangsa berlabuh.
"Pelabuhan bukan sahaja untuk perdagangan serta 'transhipment' semata-mata, malah sektor perindustrian eksport dan import negara yang kukuh mendorong pelabuhan negara terus menjadi pilihan kapal antarabangsa berlabuh.
"Operator- operator pelabuhan negara perlu lebih berdaya saing selain keperluan merangka dasar perdagangan yang bebas dan terbuka, bagi memastikan kelebihan pelabuhan negara terus dipertahankan," katanya.
Thailand sebelum ini dilaporkan mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, laluan laut utama yang sibuk.
Thailand dilaporkan memberi jaminan cadangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat yang dirancang bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka, akan turut membabitkan kerjasama Malaysia.
Projek itu dijangka dapat memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari berbanding laluan di Selat Melaka selain mampu mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.
Mac lalu, kerajaan dilaporkan sudah melaksanakan kajian berhubung cadangan pembangunan Jambatan Darat CRLB di Thailand serta potensi impak terhadap negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk menentukan hala tuju selanjutnya.