Yuran pusat jagaan kanak-kanak harian naik tahun depan - Simon Ng

Iklan
Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia. Gambar kecil: SIMON NG

SHAH ALAM - Yuran pusat jagaan kanak-kanak harian di seluruh negara akan naik antara 15 hingga 30 peratus pada tahun hadapan susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.

Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Simon Ng berkata, pelarasan itu untuk membantu pengendali pusat jagaan kanak-kanak menghadapi tekanan peningkatan kos dan memastikan kanak-kanak terus menikmati perkhidmatan penjagaan yang berkualiti tinggi dan selamat.

Iklan
Iklan

"Sebagai sebahagian daripada industri perkhidmatan, penting kepada penjaga dan kakitangan pusat jagaan kanak-kanak untuk menerima pulangan gaji yang adil. Bagaimanapun, apabila tahap gaji meningkat, kos operasi industri penjagaan kanak-kanak sudah pasti akan meningkat dengan ketara.

"Bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan di samping memastikan kebajikan penjaga dan kakitangan pusat jagaan kanak-kanak, pengendali pusat jagaan kanak-kanak akan menaikkan yuran sewajarnya, dengan kenaikan antara 15 hingga 30 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Madani sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat.

Iklan

Simon menjelaskan, persatuannya menyokong penuh dasar berkenaan kerana ia pastinya akan memberi impak serta kesan peningkatan kualiti hidup pekerja dan seterusnya menggalakkan pembangunan ekonomi negara.

Namun, kata beliau, pada masa yang sama, persatuan menyedari cabaran pengoperasian yang dibawa oleh dasar tersebut terhadap industri penjagaan kanak-kanak.

Justeru, Simon menegaskan, persatuannya kini juga giat mengatur strategi komunikasi yang membina bersama pihak kerajaan.

"Kami berharap mendapat maklum balas daripada jabatan berkaitan dalam masa terdekat khususnya bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Ini bagi mencari penyelesaian dalam proses pelaksanaan dasar, menyokong langkah-langkah dan memastikan peralihan yang lancar bagi industri jagaan harian dan mencapai pembangunan mampan industri pusat jagaan kanak-kanak di seluruh Malaysia.