Prosiding kes GISBH terganggu seketika, tertuduh batuk tanpa henti

Iklan
Nasiruddin (tengah) antara 22 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. - Foto: Bernama

SELAYANG - Prosiding kes menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terganggu seketika apabila salah seorang daripada 22 tertuduh batuk tanpa henti seperti menahan muntah sehingga diberi bantuan pihak polis.

Hakim, Lailatul Zuraida Harron @ Harun kemudiannya mengarahkan, Siti Salmiah Ismail, 57, dan tertuduh lain yang mempunyai masalah kesihatan diberikan rawatan sewajarnya.

Iklan
Iklan

Selesai prosiding, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin berkata, anak guamnya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan beberapa tertuduh mempunyai penyakit kronik.

Menurutnya, ini kerana sebahagian besar anak guamnya merupakan warga emas termasuk Nasiruddin yang menghidap diabetes tahap empat.

Iklan

"Semasa dibawa ke mahkamah, ada yang tidak sihat dan mahkamah juga telah menasihati mereka mendapatkan rawatan dengan segera.

"Semua sedia maklum, mereka sudah lama ditahan oleh pihak polis, hampir dua bulan,” katanya ketika sidang akhbar di luar mahkamah.

Iklan

Susulan itu, beliau berkata, pembelaan telah mendapat kerjasama daripada pihak polis agar semua anak guamnya mendapatkan perhatian yang diperlukan.

Sepanjang berada dalam tahanan di Lokap Berpusat Shah Alam beliau berkata, tertuduh-tertuduh ini dilayan dengan baik termasuk menyediakan pasukan perubatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Pada Rabu, Nasiruddin, isterinya, Datin Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi dan 19 individu lain, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.

Tertuduh lain ialah Hasnan Abd Hamid, 53, Mohd Shukri Mohd Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Tertuduh wanita pula ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28 dan Nur Jannah Omar, 32.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH, di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.