PENYANYI yang mencetuskan fenomena di media sosial menerusi lagu Tamil berjudul Yennado Macha, Zubir Khan menjadi pilihan juri untuk menerima Anugerah Muhibbah bagi bulan Ogos.
Zubir atau nama sebenarnya Muhammad Zubir Mohamad Ali, 24, dipilih menerima anugerah itu sebagai mengiktiraf semangat muhibah yang ditonjolkan melalui lagu-lagu Tamil ciptaannya dan menerima sambutan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Teruja dengan pengiktirafan itu, pemuda berketurunan Pakistan-Melayu ini menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu kejutan yang menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus berkarya.
"Saya hilang tangan kanan pada usia empat tahun dan keadaan itu membuatkan saya selalu berfikir kekurangan yang dimiliki akan menjadi penghalang untuk berjaya. Namun, akhirnya saya sedar kekurangan itu bukanlah halangan selagi kita tidak berhenti mencuba.
"... dan saya juga tidak pernah menjangkakan lagu-lagu nyanyian saya akan menjadi tular, dan seterusnya berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia. Saya bersyukur kerana ini adalah anugerah pertama yang saya terima dan akan menjadi memori yang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah itu, di sini hari ini.
Anugerah Muhibbah dilancarkan pada tahun lepas hasil kerjasama Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dan penyedia platform penyelesaian perusahaan MACROKIOSK, bagi menghargai individu, kumpulan, atau organisasi yang telah menyumbang kepada semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.
Pelantun lagu Oh My Khadale itu menerima anugerah berkenaan daripada Exco NPC Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif yang mewakili Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan dan membawa pulang wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan.
Nama Zubir mula dikenali selepas menyanyikan lagu-lagu Tamil menerusi persembahan di majlis perkahwinan dan rakaman semula atau 'cover version' sejak 2018.
Antara lagu bahasa Tamil ciptaan Zubir ialah Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle dan Yennode Macha yang kesemua muzik videonya mencatat jutaan tontonan di YouTube.
Anak bongsu daripada lima beradik itu sedang popular dengan lagu Oh My Khadhale atau OMK yang disampaikan secara berduet dengan rakannya Ezra Kairo, dan beliau merancang untuk menghasilkan sebuah album mini tahun ini.
"Saya juga bakal melancarkan single Deepavali Sudah Mari pada 26 Oktober ini bersempena dengan sambutan Deepavali yang bakal tiba.
"Saya berharap dapat terus mencipta dan menyanyikan lagu-lagu baharu yang akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghayati semangat muhibah dan hidup harmoni,” katanya yang menjadikan komposer dan penyanyi dari India, Anirudh Ravichander sebagai idola.
Sementara itu, Abdul Rahmat Omar berharap pihaknya dapat terus menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat bagi membina Malaysia yang lebih kuat, tahan lasak dan bersatu padu.
"Zubir telah menunjukkan semangat muhibah yang mengagumkan dengan menyatukan masyarakat melalui kecintaan serta bakatnya, dan usaha beliau ini diakui dan dihargai oleh juri,” katanya. - Bernama