HONG KONG - Hong Kong hari ini mula menguatkuasakan langkah kuarantin selama dua minggu terhadap individu yang tiba dari China sebagai langkah untuk menghentikan penularan koronavirus.
Tindakan baharu yang berkuat kuasa bermula tengah malam itu akan menyaksikan majoriti kes perlu berdepan langkah tersebut manakala pihak yang melanggar peraturan terbabit bakal berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan.
"Kami akan sekat ramai orang dengan langkah baharu tersebut,” kata Menteri Keselamatan, John Lee.
The South China Morning Post melaporkan malam semalam menyaksikan ramai individu beratur panjang di lintasan sempadan di Shenzhen.
Pihak berkuasa berharap langkah baharu itu akan menyekat semua lintasan sempadan di samping membenarkan bandar raya tersebut terus mendapatkan bekalan makanan dan barangan dari Tanah Besar China yang menjadi pusat penyebaran wabak membawa maut itu.
Difahamkan, menteri Kabinet hanya membuat keputusan tentang cadangan kuarantin itu enam jam sebelum dasar baharu itu dilaksanakan. - AFP
Info:
>Penduduk Hong Kong yang tiba dari Beijing dibenarkan kuarantin di rumah masing-masing.
>Pengunjung dari China dan antarabangsa pula diberi kebenaran untuk kuarantin di hotel atau penginapan masing-masing.
>Mereka yang tiada penginapan akan dihantar ke pusat kemudahan sementara disediakan kerajaan.
>Individu yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lalu dan terbang ke Hong Kong dari destinasi lain juga akan dikuarantin.
>Hong Kong akan menggunakan sukarelawan perkhidmatan awam dan pelajar untuk lakukan pemeriksaan dan membuat panggilan harian bagi memastikan mereka yang dikuarantin berada di rumah.