Beruang 'bunuh' Muhamad Zaki masuk perangkap

Iklan
Beruang matahari yang 'membunuh' Muhamad Zaki pada 8 September lalu berjaya dicekup selepas memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Dalam Senduk, Jerek.

GUA MUSANG - Seorang bapa meluahkan rasa syukur apabila beruang matahari yang 'membunuh' anaknya pada 8 September lalu berjaya dicekup selepas memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini pada Selasa.

Che Mohamed Konok, 70, berkata, sebaik sahaja menerima berita itu dia terus bergegas ke lokasi sekitar jam 10 pagi untuk melihat keadaan haiwan liar itu.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah dengan tertangkapnya beruang matahari itu, kami serta penduduk kampung merasa selamat untuk keluar bekerja di kebun.

"Saya masih ke kebun walaupun trauma kehilangan anak lelaki disebabkan serangan beruang. Kejadian itu masih segar dalam ingatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pada Selasa pihaknya menerima aduan berkaitan seekor beruang matahari telah memasuki perangkap.

Susulan aduan terbabit seramai tujuh anggota Perhilitan Gua Musang dan tiga dari Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) telah ke lokasi perangkap dan mendapati seekor beruang matahari jantan dewasa di dalamnya.

Beliau memberitahu, susulan aduan terbabit seramai tujuh anggota Perhilitan Gua Musang dan tiga dari Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) telah ke lokasi perangkap dan mendapati seekor beruang matahari jantan dewasa di dalamnya.

Iklan

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati haiwan liar tersebut mengalami kecederaan pada bahagian muka, mulut dan tangan.

"Rawatan awal telah dilakukan dan beruang matahari itu akan dibawa ke NWRC (Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan) Sungkai, Perak untuk tindakan selanjutnya.

"Haiwan liar ini berkemungkinan beruang yang sama menyerang dan menyebabkan kematian seorang lelaki rakyat tempatan pada 8 September 2024 ini kerana anggaran jarak lokasi tangkapan dengan kejadian adalah hanya sekitar 900 meter," katanya.

Menurut beliau, dengan kejayaan tangkapan beruang matahari jantan itu diharap akan meredakan kegusaran penduduk kampung.

Sinar Harian pada 14 September lalu melaporkan lelaki yang parah diserang beruang, Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, dalam kejadian di Kampung Dalam Senduk di Jerek telah meninggal dunia.

Adik mangsa, Siti Jamilah, 22, berkata, abangnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM) Kubang Kerian di Kota Bharu.

Sebelum itu pada 8 September Muhamad Zaki parah selepas diserang seekor beruang ketika melakukan aktiviti memikat burung di hutan berhampiran kampung tersebut.

Mangsa mengalami luka di bahagian kaki dan kepala akibat cakaran haiwan liar terbabit.