Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram didakwa sokong Daesh, miliki senjata api

Iklan
Radin Imran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan dan memiliki senjata api berkaitan kumpulan pengganas Daesh. - Gambar file

KUALA LUMPUR - Bapa kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada Mei lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan dan memiliki senjata api berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, yang kemudiannya menetapkan 15 November ini untuk pengurusan kes.

Iklan
Iklan

Dalam pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan pengetahuan telah menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanamkan fahaman ideologi Daesh kepada empat anaknya Radin Luqman, Radin Romyullah, Farhah Sobrina, Mariah dan isterinya Rosna Jantan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014 hingga 17 Mei 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senjata api iaitu senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan Daesh dan dia juga didakwa telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 10.45 pagi, 17 Mei 2024 dan penghujung 2014 mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Iklan

Dihadapan hakim sama, anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri mewakili kedua-dua tertuduh.

Dalam serangan di balai polis itu pada 17 Mei, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut. - Bernama