Op Global: 55 kanak-kanak diserahkan kepada keluarga terdekat

Iklan
Nancy Shukri bercakap pada sidang akhbar Program Sinar Kasih Deepavali 2024 di Pusat Pembangunan Wanita PSPK hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sebanyak 55 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah diserahkan kepada ahli keluarga terdekat yang layak setakat hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu dilaksanakan berdasarkan lunas undang-undang dan melalui perintah mahkamah.

Iklan
Iklan

" ... sekali lagi kita perlu melalui perintah mahkamah. Kita ambil anak itu pun melalui prosedur mahkamah yang beri kebenaran kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selepas itu untuk mengeluarkannya (kanak-kanak) juga kena mohon dengan mahkamah.

"Tugas JKM bukan mengambil anak orang, kerja kita adalah untuk melindungi dan menyelamatkan anak-anak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Penuaan 2024 di sini hari ini.

Iklan

Setakat ini, sebanyak 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan selepas JKM mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 20 Oktober lepas, Nancy berkata, belum ada kanak-kanak yang dipulangkan kepada ibu bapa mereka kerana dikhuatiri berlaku kes perebutan hak jagaan.

Iklan

Kata Nancy, pihaknya perlu lebih berhati-hati kerana bagi sesetengah kes, terdapat juga permohonan yang dilakukan secara berasingan oleh ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan yang mungkin mendatangkan pelbagai permasalahan lain.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.

Sementara itu, Nancy dalam ucapannya berkata, kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas, keluarga dan masyarakat termasuk bantuan kewangan, institusi penjagaan (Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan), dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

"Kami juga mengusahakan ekonomi penjagaan, rang undang-undang berkaitan warga emas dan pelan tindakan Dasar Warga Emas Negara (DWEN), mencerminkan peralihan ke arah pendekatan lima dimensi untuk penuaan, iaitu kesihatan, positif, aktif, produktif dan sokongan penuaan.

"Justeru, saya menjemput semua pihak, sektor awam dan swasta, untuk terus bekerjasama dalam memastikan persekitaran kondusif ke arah penuaan mampan di Malaysia," katanya.

Persidangan yang bertemakan Ageing with Dignity: The Importance of Strengthening Care and Support Systems for Older Persons Worldwide itu dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®).

Program itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) bagi meningkatkan penyelidikan dalam bidang penuaan untuk kesejahteraan masyarakat. - Bernama