Culik ahli perniagaan: 13 individu termasuk seorang ahli keluarga ditahan

Iklan
Laporan Sinar Harian. (Kumar)

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan 13 individu termasuk seorang ahli keluarga kepada ahli perniagaan yang dilaporkan diculik di daerah ini pada 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita itu ditahan dalam operasi yang dilakukan bermula jam 9 malam Selasa, sehingga awal pagi Rabu di sekitar negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kesemua mereka yang berusia 24 hingga 58 tahun itu terdiri daripada 10 lelaki iaitu lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.

"Manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Community Policing Kontinjen Johor sempena Sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, pada Rabu.

Kumar memberitahu, empat daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Iklan

"Dalam operasi tersebut, polis turut merampas antaranya telefon bimbit dan kad ATM.

"Kes disiasat mengikut Akta Penculikan 1962. Seramai 10 suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Oktober ini sementara tiga lagi suspek akan dimohon reman pada Khamis di mahkamah di Johor Bahru,” katanya.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut kerana akan mengganggu siasatan polis.

Sabtu lalu, polis Johor mengesahkan telah menerima laporan berkaitan seorang lelaki warga tempatan dilarikan oleh beberapa individu dengan sebuah kereta.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 7.20 malam, pada 13 Oktober lalu dan ahli perniagaan itu dilaporkan dilepaskan pada hari yang sama.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.