KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera yang baru sahaja menimang cahaya mata sulung meninggal dunia selepas dipercayai mengalami dehidrasi ketika sesi latihan di Kem Terendak Melaka pada Selasa.
Sehari sebelum kejadian, Allahyarham LBdr, Mohd Izuan Hafiz Mohd Supian, 26, dari pasukan 361 Bti RAD (Para) sempat memuat naik gambar percutian bersama isteri dan anaknya di Cameron Highlands menerusi media sosialnya.
Difahamkan arwah yang tidak sampai setahun mendirikan rumah tangga bersama isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Sungai Baru, Melaka pada Rabu.
Menerusi perkongsian di TikTok, rakan-rakan menyifatkan Allahyarham seorang yang baik dan mereka turut bersedih apabila mendengar berita pemergian arwah.
Sementara itu Panglima 10 Briged (Para), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal dan seluruh Warga 10 Briged (Para) turut berduka dan mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham di atas pemergian mengejut ini.
"Semoga ALLAH SWT memberikan ketabahan kepada keluarga dan doa dititipkan agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredaannya,” katanya.