Segerakan bantuan bencana tanaman padi rosak akibat banjir - Mahfuz

Iklan
Mahfuz (tengah) bersama sebahagian wakil penerima bantuan tabung bencana tanaman padi yang rosak akibat kemarau di Alor Setar.

ALOR SETAR - Kerajaan diharap dapat mempercepatkan bantuan bencana tanaman padi yang rosak akibat banjir melanda Kedah baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, anggaran kerosakan membabitkan 1,461 hektar bernilai RM6.991 juta melibatkan 767 pesawah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan bantuan bencana berkenaan telah diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan berharap dapat disegerakan berikutan pesawah terlibat kehilangan pendapatan.

"Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah telah mengambil tindakan segera berkaitan bencana banjir baru-baru ini, terutama kawasan bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) melibatkan tanaman padi di kawasan luar Jelapang.

Iklan

"Kita harap disegerakan peruntukan itu untuk diserahkan kepada pesawah terlibat agar mereka dapat laksanakan program tanaman pada musim akan datang kerana telah kehilangan pendapatan dan keuntungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan tabung bencana tanaman padi (kemarau) dan penyerahan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan ke-4 bagi program ladang benih, di sini pada Rabu.

Mahfuz berkata, berdasarkan data permohonan dikemukakan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kedah, bancian kerosakan padi melibatkan 13 PPK iaitu di Langkawi, Pendang Selatan, Kubur Panjang, Gurun, Pokok Sena, Kuala Nerang, Naka, Padang Serai, Kuala Ketil, Lubuk Batu, Changlun dan Kuala Muda Selatan.

Iklan

"Saya berharap kerajaan dapat salurkan bantuan tersebut dengan segera kerana kerugian mereka agak tinggi disebabkan ada tanaman yang sudah hampir boleh dituai tetapi rosak akibat banjir.

"Padi tak dapat diselamatkan menyebabkan mereka hilang pendapatan, kerajaan harus fikirkan untuk percepatkan bantuan bagi mengelak mereka terpaksa berhutang lagi, kelak akan jadi beban baharu,” ujarnya.

Menurutnya, LPP Kedah turut menyalurkan bantuan awal berupa bantuan bakul makanan kepada semua mangsa bencana banjir dengan nilai peruntukan RM125,000 kepada hampir 1,000 penerima.

"LPP Kedah masih meneruskan bancian data mangsa banjir yang terbaharu untuk disalurkan bantuan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan kepada ahli-ahli peladang,” katanya.

Mahfuz memaklumkan, bantuan tabung bencana tanaman padi yang terjejas akibat musim kemarau sebanyak RM1.29 juta diagihkan kepada 887 pesawah melibatkan 1,649 hektar di kawasan luar Jelapang.

"Bantuan disalurkan kepada pesawah di lapan buah PPK, iaitu PPK Langkawi, PPK Pendang Selatan, PPK Kubur Panjang, PPK Gurun, PPK Pokok Sena, PPK Kuala Nerang, PPK Naka dan PPK Asun,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menyerahkan peruntukan RM2.695 juta kepada lapan PPK untuk program pembangunan ladang benih padi.

"Ia membabitkan PPK Kuala Nerang, PPK Kubur Panjang, PPK Asun, PPK Changlun, PPK Pendang Selatan, PPK Kuala Muda Selatan, PPK Pokok Sena dan PPK Merbok.

"Kita harap tanaman benih padi ini berhasil untuk membolehkan kilang atau loji benih padi kita di Kubur Panjang dapat beroperasi sepenuhnya pada musim akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, dengan adanya loji berkenaan, diharap dapat menstabilkan bekalan benih padi bagi mengatasi masalah ketidakcukupan benih padi dalam pasaran.

"Loji benih padi yang pertama untuk LPP Kedah ini sudah beroperasi bermula pada musim ini. Kita menggunakan kuota sementara daripada Lahar Bubu, Seberang Perai sekitar 1,000 tan metrik.

"Loji berkenaan mampu mengeluarkan 5,000 tan metrik termasuk loji di Parit Buntar dan Sungai Burung,” katanya.

Mahfuz berkata, benih padi yang diproses di loji Kubur Panjang antaranya dihantar ke Selangor.

"Saya percaya bermula tahun depan LPP Kedah dapat mengeluarkan benih padi sah dari loji tersebut, sekarang di peringkat benih asas sebelum dijadikan benih padi sah, seterusnya dapat dijual dalam pasaran tahun depan,” katanya.