Pengarah syarikat, jurutera direman kes rasuah RM90,000

Iklan
Suspek tiba di Mahkamah Majistret pada Rabu.

MELAKA - Seorang pengarah syarikat dan jurutera direman selama lima hari bermula Rabu bagi membantu siasatan memberi dan menerima rasuah bagi mendapat projek sewaan Genset bernilai kira-kira RM90,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga Ahad ini dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap kedua-dua suspek selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret.

Iklan
Iklan

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia 40 hingga 60-an itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua mereka yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.

Iklan

Menurut sumber, mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka antara jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang pada Selasa.

Katanya, pengarah syarikat terbabit dipercayai telah memberi wang rasuah kepada jurutera itu sebanyak RM2,000 melalui pindahan ke akaun bank milik isterinya sebagai dorongan mendapatkan projek berkaitan sewaan Genset bernilai kira-kira RM90,000.

Iklan

"Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar November tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.