Imigresen gempur PATI berselindung di perkampungan Orang Asli

Iklan
JIM Kelantan menggempur PATI yang berselindung di perkampungan Orang Asli di Gua Musang pada Isnin.

GUA MUSANG - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berselindung di perkampungan Orang Asli di sini pada Isnin.

Operasi pada jam 2 pagi itu berjaya menahan seramai lapan PATI melibatkan lima lelaki dan dua wanita warga Bangladesh serta seorang lelaki Nepal.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah JIM (Pengurusan) Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, bertindak atas hasil risikan dari Bahagian Penguatkuasa JIM dengan kerjasama agensi berkaitan telah melakukan pemeriksaan terhadap warga asing dan tempatan di lima perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Brooke Lama, Sangwai B, Sangwai C, Sendrop dan Sigar di sini.

"Dalam serbuan ini, sebanyak 28 premis dan 62 orang telah diperiksa.

Iklan

"Mereka terdiri daripada 44 warga tempatan, seorang warga Indonesia, Bangladesh (15) dan Nepal (2)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut seramai lapan orang PATI ditahan melibatkan warga Bangladesh dan Nepal berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Iklan

Nik Akhtarulhaq berkata, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Ops Bersepadu yang dijalankan di sekitar kawasan tanah tinggi Lojing ini melibatkan kerjasama dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing.

"Operasi ini dijayakan dengan kekuatan seramai 67 pegawai pelbagai pangkat dari jabatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

"Orang ramai digesa tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau memberitahu, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi PATI.