BAYAN LEPAS - Suatu ketika dahulu, Pantai Esen yang terletak di Permatang Damar Laut, Batu Maung terkenal dengan keindahan pantainya yang cantik dan bersih.
Ia juga terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik, bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan malah pelancong luar negara.
Jika dahulu tidak putus-putus pengunjung ke pantai tersebut, namun kini ia seperti 'pantai hantu' kerana tiada pengunjung berikutan airnya tercemar dengan selut tebal selain berbau busuk.
Tinjauan mendapati, selut tebal telah memenuhi pesisiran pantai menyebabkan air laut menjadi kotor dan berbau busuk.
Pengusaha sukan lasak bermotor ATV, Mohd Zuhair Hizami Mohd Zainol Abidin berkata, perniagaannya terjejas sehingga 70 peratus apabila tiada pengunjung yang datang setelah mengetahui keadaan terkini pantai tersebut.
Menurutnya, pengunjung tidak lagi datang ke pantai berkenaan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan di situ termasuk berkelah.
"Perniagaan saya memang merudum teruk sejak tiga hingga empat bulan lalu. Ini kerana, keadaan pantai yang tidak cantik seperti dahulu. Ia dipenuhi selut hitam yang tebal.
"Dengan keadaan pantai dan air laut begitu, siapa yang nak datang ke sini? Pelanggan saya juga banyak yang membatalkan tempahan mereka apabila tahu keadaan pantai ketika ini.
"Kebanyakan pelanggan mahu bawa ATV ke pesisiran pantai dan mengambil peluang untuk mengambil gambar, berjalan di persisiran pantai dan melihat matahari terbenam, tetapi apabila jadi seperti ini, pelanggan pun 'lari'," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Tambah Mohd Zuhair, sebelum ini, pantai tersebut menjadi tumpuan pengunjung untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga setiap hujung minggu.
"Jika dahulu, pelanggan saya ada yang datang dari Jepun, Korea dan Eropah tetapi sekarang ini, pengunjung tempatan pun tak ada.
"Dahulu, hujung minggu, pendapatan saya RM2,000 namun kini hanya RM500 sahaja.
"Bagaimana saya nak bayar gaji pekerja, bayar penyelenggaraan ATV dan perbelanjaan lain-lain jika pendapatan merudum seperti ini?" keluhnya.
Bau busuk ganggu kehidupan penduduk kampung
Sementara itu, penduduk kampung, Samad Ismail, 58, berkata, bau busuk selut tebal sangat mengganggu kehidupan kira-kira 7,000 penduduk di Kampung Permatang Damar Laut tersebut.
"Keadaan memang busuk, tetapi kami penduduk kampung tiada pilihan kerana rumah kami memang di sini. Memang laut ada selut, itu semua orang tahu tetapi tidak lah setebal yang ada sekarang ini.
"Selut yang ada di Pantai Esen ini, jika dilihat betul-betul, ia seperti bercampur dengan minyak. Mungkin sebab itu ia menyebabkan ia berbau busuk.
"Dahulu, penduduk kampung selalu mencari siput remis di pesisiran pantai tetapi kini, kena korek pasir sebab ia berada di dalam pasir. Tetapi kini, siput-siput itu dengan sendirinya naik ke atas pasir dan ia menandakan keadaan pasir di sini tidak bersih," katanya.
Tambahnya, siput-siput yang dikutip penduduk juga dikhuatiri tercemar dan akan menyebabkan keracunan makanan.
Seorang lagi penduduk, Jaffar Osman, 67 berkata, kekurangan pengunjung menyebabkan gerai jualan oleh penduduk tempatan di pesisiran pantai telah ditutup.
Katanya, bukan sahaja gerai jualan, perniagaan sukan air seperti kayak juga terpaksa dihentikan berikutan keadaan air yang kotor dan berselut.
"Ada empat hingga lima gerai di sini terpaksa ditutup kerana tiada pengunjung. Perniagaan kayak juga tutup kerana dengan keadaan air laut yang berselut, ia tidak sesuai untuk sukan air itu dijalankan.
"Pengunjung pun tidak mahu kasut dan pakaian mereka kotor jika terkena selut. Oleh itu, pengusaha kayak di sini terpaksa menutup perniagaan mereka," katanya.
Jaffar menambah, keadaan selut tebal berwarna hitam itu dipercayai berpunca daripada kerja tambakan untuk Projek Pulau Silikon yang dijalankan di kawasan tersebut.
"Kami percaya, semua masalah ini berpunca daripada kerja tambakan yang dijalankan ini.
"Pihak kontraktor dipercayai menyedut pasir dari dalam laut dan membuang semula selut menyebabkan selut makin menebal di pesisiran pantai.
"Mereka hanya ambil pasir sahaja, selut mereka buang. Saya difahamkan, bukan di Pantai Esen sahaja menghadapi masalah ini malah di Sungai Batu dan Jelutong juga," katanya lagi.
Tambahnya, sebelum projek tambakan itu dijalankan, air laut akan naik sehingga ke daratan sekiranya musim air pasang besar namun kini, ia seperti tersekat.
"Tetapi apabila projek tambakan dijalankan, air naik hanya di pesisiran pantai sahaja," katanya.
Ujar Jaffar, penduduk kampung hanya mahu masalah tersebut diselesaikan segera oleh pihak terlibat.
"Kami tak mahu tahu apa puncanya, apa yang kami mahu, selesaikan segera masalah ini. Kembalikan keindahan Pantai Esen seperti dahulu. Kami mahu pantai ini meriah dengan ramai pengunjung seperti sebelum ini.
"Pantai ini amat popular, pengunjung luar datang buat penggambaran filem, muzik video, ambil gambar buat poskad dan banyak lagi. Tetapi kini, siapa pun tak mahu datang ke sini," tambahnya.
Dalam pada itu, M Annathurai, 55 berkata, dia telah menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya mengenai masalah tersebut dan memohon tindakan segera diambil.
"Saya sudah tulis surat kepada JAS malah ada penduduk yang sudah membuat laporan polis.
"Kami berharap, pihak bertanggungjawab memandang serius masalah kami ini. Kasihani lah penduduk kampung yang tinggal dan cari makan di sini. Kami tidak tahu masalah apa lagi akan timbul selepas ini jika tindakan tidak diambil," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, beliau telah mengarahkan beberapa pegawai untuk terus membantu Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memantau keadaan pantai di kawasan tersebut.
Beliau berkata pemantauan terperinci dilakukan setiap tiga bulan, termasuk pada Mac, Jun dan Oktober tahun ini.
"Laporan-laporan ini telah diserahkan kepada JPS dan analisis menunjukkan tiada perubahan yang ketara berbanding dengan kajian awal.
"Selain itu, siasatan pada tanah di pantai tersebut antara tahun 2014 dan 2016 secara konsisten menunjukkan terdapat lapisan tanah liat lembut yang tebal di dasar laut di pesisir pantai selatan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan ketika dihubungi berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan sampel diambil di beberapa lokasi di kawasan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), pinggir pantai berdekatan dan laut.
"Kita masih menunggu keputusan bagi memuktamadkan siasatan punca sebenar pencemaran," katanya.