DBP sebar luas program bahasa kebangsaan melalui radio, media baharu

Iklan
Ariza menunjukkan cerita kartun Rara dan Riri oleh DBP yang boleh diakses di platform digital.

KOTA BHARU - Penggunaan bahasa Indonesia dalam pertuturan harian kalangan kanak-kanak di negara ini semakin menular akibat pengaruh gajet.

Perkara itu perlu diberi perhatian serius agar tidak menjejaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekali gus membentuk negara bangsa.

Iklan
Iklan

Menyedari perkara itu, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertindak menyebar luas program-program bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu di radio serta media baharu.

Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail berkata, antara program yang dilaksanakan ialah Kayanya Bahasa Kita, Cerianya Bahasa, dan Peribahasa Pagi yang mendapat perhatian meluas daripada pendengar.

Iklan

Menurut Ariza, penggunaan bahasa Indonesia dalam kanak-kanak pada masa kini terjadi kerana kesukaran dalam mengawal kesan kemajuan teknologi yang begitu pantas dan terbuka.

"Sekarang semua boleh diakses di hujung jari dan perlu diakui bahan-bahan dari negara Indonesia pula lebih cepat selain kaedah penyampaian yang lebih menarik.

Iklan

Barisan kenamaan yang melafazkan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Tunjong, Kota Bharu.

"DBP melakukan perancangan pelbagai program bahasa untuk memupuk dan memberi kesedaran kepada semua peringkat dari seawal usia dengan mengikut peredaran zaman termasuk menggunakan radio, media baharu atau media sosial dalam memartabatkan Bahasa Melayu,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Wacana Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 - Sayangi Bahasa, Sayangi Negara di Tunjong pada Rabu.

Beliau mengulas, DBP turut mempunyai bahagian multimedia yang ditubuhkan sejak tahun 2022 dan dengan pantasnya bergerak menghasilkan pelbagai bahan-bahan yang sesuai ditonton kanak-kanak dalam bahasa Kebangsaan itu.

"Kami ada TV DBP, cerita kartun yang mempunyai pelbagai teladan seperti Rara dan Riri selain kini mempunyai radio DBP.

"Pelbagai program-program terbaharu dilaksanakan DBP dan boleh dicapai secara digital oleh semua peringkat lapisan masyarakat seterusnya menikmati perkhidmatan kami dengan lebih cepat,” ujar beliau.

Dalam pada, Ariza berkata, pihaknya juga sedang mengusahakan komik-komik yang bermutu untuk golongan itu dan akan digitalkan.

"Kami mahu kanak-kanak ini mendapat akses pembacaan yang bermutu.

"DBP sentiasa memastikan setiap penerbitan pihak kami dijaga dari segi kualiti bahasa dan penceritaan-penceritaan yang bermoral diberikan supaya mereka dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik,” katanya.