SERDANG - Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius peningkatan bilangan pelajar yang mempunyai idea untuk membunuh diri serta trend 'barcode' kononnya sebagai satu terapi bagi menghilangkan depresi.
Berucap merasmikan pertandingan Inovasi Sosial Kesihatan Mental di sini pada Rabu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peranan kaunselor dan ibu bapa penting dalam membendung tindakan sedemikian di peringkat awal.
Beliau berkata, KPM telah melaksanakan beberapa langkah intervensi antaranya pelaksanaan profiling di sekolah mengenai psikososial murid bagi membangunkan ekosistem yang baik dan selamat untuk mereka.
"Saya khuatir dengan bilangan anak-anak kita yang membuat percubaan dan juga mempunyai ideation, suicide ideation dan saya lihat sendiri bagaimana trend 'barcode'... maknanya perkara (ini) perlu kita ambil secara serius dan tangani dengan betul,” katanya.
Trend itu adalah tindakan menoreh lengan menggunakan objek tajam seperti pisau yang dilakukan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi kononnya sebagai satu terapi bagi menghilangkan depresi.
Sementara itu, beliau berkata, usaha menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar memerlukan konsistensi serta kesungguhan kerana melibatkan jiwa manusia.
"(Sekolah perlu) ada ekosistem yang memberikan sokongan, ekosistem yang anak-anak selamat untuk bercerita, meluahkan perasaan dan berkongsi perasaan masing-masing,” katanya.
Fadhlina berkata, peranan pembimbing rakan sebaya (PRS) juga amat penting dan perlu diperkasakan lagi bagi memastikan ekosistem di sekolah selamat serta menarik.
"Bila kita membesar, kita bersekolah dan bekerja, PRS ini sebahagian daripada hidup kita dan sebab itu pemilihan PRS (penting). (Mereka) rakan-rakan yang akan membentuk siapa diri kita di masa hadapan, hari ini dan esok,” katanya. - Bernama