Jaga batasan, adab bahas RUU Mufti - Amidi

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Amidi

SHAH ALAM - Pihak yang terlibat membahaskan Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 diingatkan supaya sentiasa menjaga batasan adab dan akhlak agar perbincangan mengenainya tidak tersasar jauh dari tujuan asal ia digubal.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan menegaskan, kata-kata keras, mencemuh, memperlekeh dan kesat hanya menyemarakkan api permusuhan dan bukannya menghuraikan kekusutan.

Iklan
Iklan

"Setiap tokoh agamawan, pengikut dan penyokong yang terlibat dalam perdebatan ini perlu sentiasa berusaha memperlihatkan keindahan Islam agar kefahaman mengenai agama akan mengukuhkan kecintaan terhadap nilai dan ajarannya.

"Namun ia mula menampakkan reaksi berlebihan sehingga agak terkeluar dari lingkungan yang sepatutnya," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, RUU berkenaan mendapat kritikan daripada Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, selain mahu berdialog mengenai perkara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam reaksinya bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana menghormati pandangan semua pihak serta pandangan Mufti Perlis.

Iklan

Dalam pada itu Amidi berpendapat, perbahasan ilmiah telah dibawa ke sentimen kelompok, mengakibatkan ledakan emosi dan menyingkirkan rasional.

"Pihak JPPA PKR menyanjung dan menyokong usaha yang dilakukan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk membuat majlis libat urus bagi menyampaikan maklumat dan penjelasan berkaitan RUU ini.

"Kami yakin Perdana Menteri juga mampu menangani isu tersebut dengan mengutamakan maslahah umat Islam semasa," ujarnya.