KUALA LUMPUR – Pavilion 14 Negeri yang menjadi daya tarikan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 akan dikekalkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung di ibu negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengesahkan Pavilion 14 buah negeri berkenaan akan menjadi lokasi kunjungan delegasi ASEAN.
"Itu satu kejayaan yang dilihat oleh Kabinet dalam program MAHA 2024 dan pegawai KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)) sedang berurusan dengan kerajaan negeri terlibat untuk membuka semula pavilion negeri mengikut waktu dan tempoh yang akan ditetapkan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Media Sempena MAHA 2024 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Jelasnya, Kabinet telah membuat keputusan membuka Pavilion Negeri sejak tiga minggu yang lalu.
Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya menyasarkan MAHA pada masa akan datang bertaraf global.
"Langkah ini diambil bagi memastikan barangan dan produk hasil tani Malaysia dapat dipasarkan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
MAHA 2024 yang berlangsung bermula 11 hingga 22 September lalu menawarkan 48 segmen merangkumi pelbagai bidang pertanian, teknologi dan inovasi mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran 5.5 juta pengunjung