Lari bertempiaran, terkejut tempat kerja diserbu

Iklan
Antara PATI yang dipercayai cuba melarikan diri ketika serbuan bagaimanapun berjaya ditahan pegawai imigresen. Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur serta SSM pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Cubaan pekerja warga asing melarikan diri ketika serbuan di premis menjual tong gas petroleum cecair (LPG) dan bengkel membaiki kenderaan di Sentul gagal apabila ditahan pada Rabu.

Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bersama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu dijalankan bermula jam 4.30 petang.

Iklan
Iklan

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi dijalankan hasil maklumat serta risikan pihaknya selama lebih dua minggu.

Seramai 32 individu ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan seorang wanita berumur antara 24 hingga 50 tahun didapati memiliki pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, aduan awam yang diterima sebelum ini mendapati dua premis terbabit dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Iklan

"Seramai 32 individu ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan seorang wanita berumur antara 24 hingga 50 tahun didapati melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua mereka ini merupakan warganegara India, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang bekerja di dua buah premis terbabit," katanya pada sidang akhbar selepas operasi dijalankan pada Rabu.

Iklan

Operasi sama turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai merupakan pemilik sebuah premis diserbu.

Siasatan di lokasi mendapati premis turut diubah suai bagi menempatkan pekerja warga asing.

"Individu berumur 24 tahun ini dipercayai menggajikan PATI secara tidak sah, tindakan diambil bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan seorang lagi pemilik premis yang diserbu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati premis ini turut diubah suai bagi menempatkan pekerja warga asing ini.

"Berkaitan perkara ini, kami akan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk proses serta tindakan lanjut," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, kesemua PATI dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

"Tindakan operasi dan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memastikan tindakan tegas diambil kepada mana-mana premis yang didapati menggajikan PATI.

"Perkara ini selaras dengan hasrat bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang selamat serta kondusif," katanya.