Kaji semula larangan pameran tembakau, dasar gaji minimum - API

Iklan
API bimbang terhadap larangan pameran tembakau akan memberi kesan tidak seimbang kepada kedai runcit yang lebih kecil. (Gambar kecil: Fazli)

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengkaji semula dasar-dasar terkini membabitkan pelaksanaan gaji minimum dan kos pematuhan larangan pameran tembakau.

Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri (API), Datuk Fazli Nordin berkata, gesaan tersebut dibuat susulan kebimbangan terhadap dasar kerajaan yang menambah beban dan kos kepada perniagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, API merujuk kepada Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebagai peraturan paling kontroversial terhadap larangan pameran semua produk tembakau dan vape di kedai runcit.

"Walaupun matlamat melindungi kesihatan awam adalah terpuji tetapi kesan kepada ekonomi adalah negatif akibat larangan pameran ini.

Iklan

"Ia akan memaksa beban pematuhan yang tinggi kepada perniagaan runcit, terutamanya pengusaha kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya pada 1 Oktober 2024.

Iklan

Kementerian Kesihatan Malaysia KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika disasarkan kepada golongan kanak-kanak serta remaja.

Mengulas lanjut, Fazli turut memaklumkan bahawa pihaknya juga bimbang sekiranya peraturan baharu itu akan memberi kesan tidak seimbang kepada kedai runcit yang lebih kecil.

Jelas Fazli, banyak perniagaan terutamanya di kawasan luar bandar tidak mampu menanggung kos penyesuaian yang mahal untuk menyembunyikan produk tembakau dan vape daripada pandangan awam.

"API juga memberi amaran bahawa Akta 852 boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam sektor runcit, borong dan pembuatan yang bergantung kepada jualan produk tembakau serta vape.

"Apabila perniagaan bergelut dengan kos pematuhan dan persaingan jualan rokok haram, kami menjangka kemungkinan berlaku pengurangan pekerja, penutupan perniagaan serta dan kemerosotan ekonomi dalam sektor berkenaan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mendakwa keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan gaji minimum itu dibuat tanpa mengambil kira PKS dan perniagaan di kawasan luar bandar.

Katanya, peningkatan gaji akan menyebabkan perniagaan menghadapi kenaikan kos buruh yang besar dan ia sukar diatasi oleh kumpulan itu.

"Perniagaan kini terpaksa berhadapan dengan sentimen pengguna yang menurun, serta peningkatan kos dalam menjalankan perniagaan selepas pemansuhan subsidi diesel.

"Perbelanjaan operasi tambahan ini akan menambah beban besar terhadap perniagaan, terutamanya PKS dan perniagaan di kawasan luar bandar,” jelasnya.