Kemaman dilanda ribut, hujan batu

Iklan
Antara kerosakan yang berlaku akibat bencana ribut di sekitar bandar Chukai, Kemaman pada petang Rabu. Ketulan ais (kanan) yang jatuh ketika hujan batu.

KEMAMAN - Beberapa kawasan di daerah Kemaman mengalami kerosakan teruk akibat dilanda fenomena hujan batu dan ribut sekitar jam 4 petang pada Rabu.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lelaki patah kaki kanan kerana dihempap bumbung sebuah wakaf yang runtuh berdekatan Pantai Teluk Mak Nik, di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian mangsa, Mohd Firdaus Abu Hassan, 37, sedang berteduh di bawah wakaf berhampiran pantai itu.

"Mangsa yang kebetulan berada di situ patah kaki kanan akibat dihempap bumbung wakaf yang tiba-tiba runtuh.

Iklan

"Mangsa bagaimanapun telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya di sini, pada Rabu.

Seorang lelaki cedera selepas dihempap bumbung wakaf yang runtuh dalam kejadian ribut di Pantai Teluk Mak Nik di Kemaman, pada Rabu.

Menurutnya, kejadian ribut kencang yang melanda kira-kira 10 hingga 15 minit itu menyebabkan kerosakan fasiliti di beberapa buah kampung yang terletak berdekatan bandar Chukai termasuk Kampung Jalan Dato dan Kampung Kubang Kurus.

Iklan

Selain itu, Hanyan berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai kejadian pokok tumbang dan beberapa fasiliti musnah antaranya khemah perniagaan dan bumbung rumah penduduk yang diterbangkan angin.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima angka tepat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kes pokok tumbang dan bumbung bangunan diterbangkan angin.

Keadaan sekolah SMA Al-Falah yang rosak teruk akibat bencana ribut pada petang Rabu.

"Ketika ini kita sedang memotong pokok-pokok yang tumbang di laluan utama dan kita turut menerima laporan tiang lampu yang terbalik.

"Seramai kira-kira 25 anggota bomba termasuk dari Balai Kemaman bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan tersebut," ujarnya.

Katanya, terdapat beberapa sekolah turut terjejas antaranya Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah.

"Sekolah itu turut mengalami kerosakan bumbung dan manakala terdapat juga pokok tumbang di Sekolah Kebangsaan Seri Iman," katanya.