LUMUT - Hadiah wang tunai RM47,300 menanti pemenang pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Terbuka Perak di Pantai Lumut Waterfront, dekat sini Ahad ini.
Pertandingan anjuran Kelab Pemancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (MUPSAC) itu mendapat sokongan Tourism Malaysia dalam merancakkan kempen Cuti-Cuti Malaysia - melancong dalam negara.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000.
Pemenang keempat menerima RM500, kelima RM300, keenam hingga 10 pula RM200, manakala ke-11 hingga 140 akan menerima RM150.
Presiden MUPSAC, Mohd Naim Ab Hakim berkata, pertandingan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
"Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan pada jam 3 petang Sabtu ini. Kaunter dibuka 24 jam bagi memudahkan peserta dari luar Perak untuk mendaftar.
"Pertandingan ini dapat membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung bagi menyertai acara ini,’’ katanya.
Beliau berkata, Pantai Lumut Waterfront kaya dengan pelbagai spesies ikan bergred A seperti pari, daun baru, ebek, gerong belang, bawal emas, todak dan lain-lain.
Ini adalah kali pertama pertandingan memancing bersaiz besar diadakan di pantai ini tahun ini. Yuran penyertaan ialah RM90 untuk satu joran, manakala bagi golongan orang kurang upaya (OKU) hanya dikenakan RM60.