Syed Muhammad Naquib tokoh berjasa kepada dunia Islam dan pemikiran - PM

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (tiga dari kiri)berkenan mengurniakan watikah pelantikan profesor diraja kepada tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (duduk) di Istana Negara pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai profesor diraja memberi makna besar kepada tokoh yang begitu berjasa kepada dunia Islam dan dunia pemikiran.

Menyifatkan Syed Muhammad Naquib sebagai individu yang sedia mencurahkan ilmu serta sahabat setia, Anwar berkata, beliau menjunjung kasih terhadap perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan watikah pelantikan profesor diraja kepada filasuf dan ilmuwan ulung berkenaan.

Iklan
Iklan

"Sepanjang hidup, saya amat bernasib baik kerana dapat mendampingi beberapa ilmuwan besar dan Prof Al-Attas merupakan salah seorang daripada tokoh tersebut.

"Beliau memberikan saya bimbingan dan pendedahan dalam pelbagai aspek keilmuan terutamanya sebagai mahasiswa di Universiti Malaya dan semasa saya berkhidmat sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Anwar turut menyifatkan Syed Muhammad Naquib sebagai individu yang telah membawa pengaruh begitu mendalam kepada generasi beliau di dalam bidang falsafah.

Syed Muhammad Naquib, yang juga pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), menerima gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong itu berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.

Iklan

Beliau telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni. - Bernama