Liyana teruja dalam tenang di Golf Maybank 2024

Iklan
Liyana (kanan) dan Nur Durriyah selepas sidang media sempena Kejohanan Maybank 2024 di KLGCC. Foto: Bernama

PEMAIN negara, Liyana Durisic mengakui teruja untuk penampilan sulung kerjaya profesionalnya di Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dalam Kejohanan Maybank 2024 yang menyingkap tirai Khamis hingga Ahad di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara.

Biarpun pemain berusia 23 tahun itu melihat kejohanan tersebut permulaan penting, dia juga bertekad tampil pendekatan tenang dan tidak meletakkan terlalu banyak tekanan dalam percubaan pertama di arena golf profesional.

Iklan
Iklan

"Perkara paling penting bagi saya adalah untuk menikmati setiap saat. Ini adalah penampilan pertama saya sebagai pemain profesional.

"Tiada tekanan, tiada jangkaan. Hanya keluar dan nikmati permainan," katanya dalam sidang media menjelang kejohanan bernilai AS$3 juta (RM13.03 juta) pada Rabu.

Iklan

Pada masa sama, jelas Liyana juga dia perlu bersedia meningkatkan permainannya ke tahap lebih tinggi apabila berdepan dengan beberapa pemain profesional terbaik dunia.

"Kejohanan ini adalah permulaan yang sangat baik untuk kerjaya profesional saya.

Iklan

"Seronok dapat memulakan sebagai pemain profesional baharu dan bermain dengan mereka yang sudah lama berada dalam bidang ini.

"Saya juga mahu belajar sebanyak mungkin terutamanya daripada pemain yang berpengalaman dan berwibawa," katanya.

Sementara Liyana bersikap tenang mengenai penyertaannya, Nur Durriyah Damian pula lebih serius kerana dia bercadang bersaing secara kompetitif dalam penampilan keduanya di Jelajah LPGA.

Pemain berusia 29 tahun itu berkongsi bahawa dia telah membuat persediaan selama beberapa bulan dan berharap usahanya akan membuahkan hasil kerana dia bukan sahaja ingin menunjukkan persembahan yang mantap tetapi juga mencipta kenangan indah di kejohanan berprestij itu.