SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh supaya tidak membuat serkap jarang berhubung isu menghapuskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua Pemudanya, Mohd Hasbie Muda menegaskan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu sepatutnya membuat rujukan dengan melihat manifesto rasmi Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya umum (PRU) 2018 dan 2022 sebelum membuat sebarang kenyataan.
"PH wujud pada tahun 2015 dan setakat ini, PH baru keluarkan dua manifesto iaitu untuk PRU (ke-14) pada 2018 dan PRU15 pada 2022.
"Dalam kedua-dua manifesto PH, tidak ada janji untuk menghapuskan hutang PTPTN. Jangan serkap jarang, sebaiknya rujuklah dokumen rasmi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini Muhammad Akmal dilapor menegaskan, pemansuhan hutang pinjaman PTPTN yang tidak boleh dilaksanakan sudah menjadi pendirian Barisan Nasional (BN) sejak gabungan itu menerajui kerajaan.
Beliau berkata, pendirian tersebut telah dijelaskan sekian lama, namun ramai yang tidak percaya, malah mengutuk kerajaan pada waktu itu.
Muhammad Akmal membidas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa yang menyatakan pemansuhan sukar dilaksanakan kerana kerajaan ketika ini mempunyai komitmen kewangan yang begitu besar.
Mustapha menjelaskan, pada masa sama kerajaan perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang berkenaan.