Baik, buruk gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700

Iklan
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025. Foto hiasan

MENERUSI pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan gaji minimum membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberikan penangguhan bagi tempoh 6 bulan berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Iklan
Iklan

Menurut Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan perlu disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.

Menurutnya, ia kerana semua pihak perlu mengambil pendekatan harmoni dan sejahtera dalam terus membaiki taraf hidup pekerja yang merupakan anggota penting dalam ekosistem negara.

Iklan

Orang ramai turut memberikan pelbagai reaksi mengenai kenaikan kadar gaji minimum tersebut. Ada yang menyokong inisiatif berkenaan dan sebaliknya, namun masing-masing mempunyai hujah serta pandangan tersendiri berhubung perkara itu.

SOKONG

Iklan

BANTU PULIH KEMBALI EKONOMI RAKYAT

Sememangnya kenaikan kadar gaji minimum ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat memulihkan kembali ekonomi mereka terutamanya dari segi pengurusan kewangan.

Apabila mengambil inisiatif itu dari sudut positif, majikan menyediakan kadar gaji minimum tersebut sebagai ihsan kepada pekerja yang banyak membantu dalam sesebuah perniagaan.

Kebanyakan majikan pasti merasakan sedikit bebanan untuk menaikkan RM200 kepada setiap pekerja, tetapi ia berbaloi kerana akan menyebabkan kakitangan kembali bersemangat dan kualiti produk syarikat terjamin.

Pekerja berpengalaman sewajarnya diberikan gaji dengan kadar yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini kerana mereka mungkin mendatangkan keuntungan disebabkan mempunyai kemahiran.

Namun sebaliknya, bagi kakitangan baharu yang masih tidak mampu mengejar prestasi pekerja lama mungkin menyebabkan syarikat berasa ragu-ragu untuk membayar dengan jumlah gaji sama.

Selain itu, bagi pekerja yang akan menerima kenaikan kadar gaji minimum itu secara tidak langsung dapat membantu memulihkan kembali ekonomi mereka dan negara.

Mungkin ada yang merasakan jumlah itu sedikit, tetapi besar buat mereka yang sedang ‘berjuang’ dalam kehidupan seharian, apatah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi.

- Peniaga, Haniza Ishak, 41

Haniza

JAMIN BUDAYA KERJA LEBIH POSITIF

Apabila pekerja menerima kenaikan kadar gaji minimum, ia boleh menjadikan suasana kerja lebih positif tanpa mempunyai sebarang konflik dalaman yang berkaitan dengan ketidakpuasan kewangan.

Bagi saya, semua pekerja dapat bekerjasama dan lebih bermotivasi bagi mencapai matlamat syarikat tanpa sebarang masalah antara mereka.

Gaji yang tidak setara antara pekerja yang diberikan majikan mungkin disebabkan oleh faktor pengalaman kerja yang berbeza atau pekerja itu sudah berkhidmat lama.

Sehubungan itu, dengan kenaikan kadar gaji minimum, pekerja yang kurang pengalaman atau baru bekerja akan berasa gembira dan akan kekal di syarikat tersebut.

Selain itu, syarikat yang menawarkan gaji kompetitif lebih cenderung menarik bakat pekerja berkualiti tinggi kerana mereka akan mencari pekerjaan dengan ganjaran setimpal dengan kemahiran.

Apabila syarikat mampu membayar dengan kadar ditetapkan kepada setiap kakitangan, ia akan meningkatkan prestasi kerja keseluruhan.

- Pekerja swasta, Muhamad Amirul Adha Sabri, 25

Muhamad Amirul Adha

BANGKANG

PEMILIK BISNES DIJANGKA KURANGKAN PEKERJA, LANTIK SECARA KONTRAK BERBANDING TETAP

Syarikat naikkan harga jualan bagi tampung kadar gaji pekerja

Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 mungkin ada kesan sampingan yang lain meskipun dilihat ia sebagai berita menggembirakan kepada pekerja lain.

Apabila kadar gaji dinaikkan, syarikat akan turut meningkatkan harga jualan barang atau perkhidmatan bagi menampung kadar gaji pekerja.

Ada sesetengah syarikat yang tidak mampu menampung kos pekerja akan mengambil langkah dengan mengurangkan pekerja bagi menetapkan kos yang lebih efektif.

Sebagai contoh, syarikat akan lebih memilih untuk mengambil pekerja kontrak berbanding lantikan tetap.

Bagi saya, perkara tersebut mungkin mengakibatkan rakyat hilang punca pendapatan.

Oleh itu, kakitangan yang bekerja dalam syarikat juga akan lebih tertekan kerana perlu menyambung tugas pekerja yang diberhentikan menyebabkan mereka kekurangan tenaga kerja.

Kalau kita lihat, harga minyak petrol naik 5 sen juga akan mempengaruhi kebanyakan harga barang, apatah lagi kenaikan kadar gaji minimum sehingga RM200.

- Pekerja swasta, Intan Nor Sazwani Che Ahmad, 29

Intan Nor Sazwani

GAJI NAIK, HARGA BARANG MESTI NAIK JUGA

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum, ia berkemungkinan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan juga meningkat.

Bagi saya, tiada sebarang keuntungan berlaku apabila menaikkan kadar gaji untuk meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Ia disebabkan apabila berlaku peningkatan kadar gaji, daya beli masyarakat juga meningkat kerana orang ramai lebih cenderung untuk berbelanja.

Perkara itu akan menyebabkan harga barang juga meningkat terutama produk atau perkhidmatan yang mendapat permintaan tertinggi.

Jadi, pelbagai aspek yang perlu dilihat semula dari segi ekonomi negara terutama dalam sektor pekerjaan.

Kenaikan tangga gaji ini memang tindakan yang baik daripada kerajaan, namun bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), masing-masing perlu bijak menguruskan keluar atau masuk pendapatan bulanan.

- Mekanik, Nor Isma Ikram Hamzah, 28

Nor Isma Ikram