MERAK JALANAN lihat satu lagi trend yang popular di Malaysia iaitu makan berbunyi atau Autonomous Sensory Meridian Response (ASMR).
Anda pernah lihat video orang makan dengan bunyi kunyahan yang super jelas, siap dengan mikrofon ultra sensitif?
Ya, itu yang kita panggil ASMR makan atau dalam bahasa kampungnya, bunyi-bunyi orang makan yang boleh buat kita rasa geram atau tenang, bergantung pada selera telinga.
Asalnya ASMR ini adalah bunyi-bunyi yang lembut dan berulang-ulang yang kononnya boleh beri kesan relaks atau tenang pada pendengar.
Tetapi di Malaysia, ASMR ni popular lebih kepada bunyi makan.
Orang rakam diri sendiri tengah makan, kunyah dengan kuat, hirup mi atau air dengan penuh nikmat dan semuanya sambil diiringi bunyi-bunyi menggiurkan yang membuatkan penonton terasa lapar.
Merak Jalanan perasan salah satu sebab kenapa orang suka tengok ASMR makan adalah kerana ia memuaskan nafsu makan secara visual.
Kadang-kadang, bila kita tengok saja orang makan dengan penuh berselera, automatik perut pun rasa kenyang.
Ada juga yang kata bunyi kunyahan tu memberi kesan relaks macam bunyi ombak atau hujan – pelik, tapi itulah dunia ASMR.
Trend itu juga jadi popular sebab ia menyeronokkan bagi sesetengah orang yang suka tengok orang lain makan.
Sampaikan ada yang sanggup rakam diri makan makanan pelik-pelik, semata-mata nak tarik lebih banyak view dan like di media sosial.
Namun, tidak semua orang boleh tahan dengan trend itu. Bagi mereka yang sensitif pada bunyi, ASMR makan berbunyi boleh jadi benda yang paling menjengkelkan dalam dunia.
Bayangkan tengah bersantai, tiba-tiba terdengar bunyi orang kunyah burger atau hirup kuah tomyam dengan bunyi yang lebih kuat daripada TV kita.
Tidakkah hilang mood? Ada juga yang kata bunyi itu meloyakan dan tak sesuai untuk didengar berulang kali.