TAMPIN - Seorang lelaki tidak sempat sampai ke tempat kerjanya, apabila maut selepas motosikal yang ditunggang disyaki melanggar seekor kerbau di kilometer 5 Jalan Tampin-Kuala Pilah pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kejadian berhampiran Kampung Repah itu berlaku pada jam lebih kurang 8 malam menyebabkan mangsa, 20 tahun parah di kepala.
"Mangsa sebelum itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari rumahnya di Kampung Berambai, Johol dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang Honda, Melaka.
"Sebaik sampai di tempat kejadian tiba-tiba seekor binatang dipercayai kerbau berada di laluannya dan mangsa tidak sempat mengelak lalu terus melanggar kerbau tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, bagaimanapun haiwan tersebut tiada di lokasi kejadian semasa pihak polis tiba.
"Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian. Mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit diminta untuk menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bagi membantu siasatan.
"Boleh juga menghubungi Inspektor Afiqah Aqwa Haslan di talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi tujuan berkenaan," katanya.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes dibuka dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.