KLUANG - Seorang doktor dan anak lelakinya cedera parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu remaja lelaki di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian di sini, pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada 4.10 petang itu membabitkan mangsa warga Indonesia, Agung Nugroho Darmawan, 40, dan anaknya, Said Hassan berusia empat tahun yang menaiki Perodua Bezza.
"Siasatan awal mendapati ketika kejadian SUV datang dari Bandar Kluang menghala ke Taman Seri Impian.
"Ketika sampai di tempat kejadian, SUV itu memasuki bulatan dan tiba-tiba Perodua Bezza pula keluar dari simpang sebelah kiri dan dilanggar oleh SUV itu," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pemandu SUV seorang pelajar sekolah menengah dan memiliki lesen memandu sah.
"Agung Nugroho Darmawan cedera di kepala, patah tulang rusuk dan bahagian dalaman badan manakala anaknya, Said Hassan parah di kepala.
"Agung Nugroho kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, manakala anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Nurul Azroy Mohamad Yusof berkata, seramai tujuh anggota dan sebuah jentera FRT dan EMRS terbabit dalam operasi membantu mangsa.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tidak sedarkan diri serta memberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.
"Anaknya juga ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam," katanya.
Dalam pada itu, tular video berdurasi 31 saat dari papan pemuka kereta yang merakam kejadian sebelum dan semasa kemalangan menyaksikan kedua-dua kenderaan itu bertembung di bulatan berkenaan.