Mamat tidak letak harapan tinggi pertahan jersi putih esok

Iklan
Mamat tidak letak harapan tinggi pertahan jersi putih esok selaku pelumba terbaik Asia pada edisi ke-25 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 .

KEMAMAN - Pakar pecut Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada edisi ke-25 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bakal berakhir di Pulau Langkawi 15 Februari ini.

Pelumba berusia 31 tahun itu berkata, kemenangan jersi putih pada peringkat kedua hari ini mungkin sukar untuk dipertahankan esok memandangkan laluan peringkat ketiga sejauh 162.5km dari Temerloh ke Kuala Lumpur banyak melibatkan laluan berbukit.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, laluan berbukit memberi kelebihan kepada pakar pendakian terutamanya dari pasukan profesional, Vino-Astana Motors untuk melakar catatan masa yang lebih selesa.

”Saya menjangkakan pelumba Yevgeniy Fedorov dari Vino-Astana Motors atau rakan sepasukan dari Columbia, Carlos Julian Quintero berpeluang menguasai peringkat ketiga kerana mereka begitu berpengalaman di laluan berbukit.

Iklan

"Saya harap tidak ketinggalan jauh dengan pelumba lain esok,” kata Mohd Hariif yang lebih mesra dengan panggilan Mamat kepada pemberita selepas perlumbaan hari ini.

Mohd Harrif menyarung jersi putih setelah muncul pelumba terbaik Asia dalam kalangan sepuluh pelumba terbaik pada peringkat kedua yang merupakan laluan terpanjang LTdL 2020, iaitu 261.1km dari Dataran Batu Buruk ke Bandar Baru Kerteh.

Iklan

Beliau menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan masa 4 jam 05 minit dan 29 saat.

Dalam pada itu, pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling (TSC) berpuas hati setelah berjaya meraih sembilan mata di tiga zon pecutan iaitu di Chendering, Rantau Abang dan Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Pencapaian itu membolehkan pelumba kelahiran Setiu, Terengganu itu meraih bonus masa sembilan saat, dan menyaksikan beliau melonjak 52 mata ke kedudukan keempat keseluruhan dengan catatan masa 5 jam 57 minit dan 38 saat selepas dua peringkat perlumbaan.

"Selepas memenangi tiga zon pecutan, saya cuba dapatkan kedudukan podium, tapi bukan rezeki selepas terjatuh bersama beberapa pelumba pada tiga kilometer terakhir,” kata pelumba berusia 22 tahun yang menduduki tempat ke-105 daripada 123 pelumba.

Peringkat ketiga esok menampilkan tiga zon pendakian di Mentakab, Desa Bakti dan Mempaga, serta tiga zon pendakian di Bukit Damar, Bentong dan Genting Sempah. - Bernama