Belanjawan 2025: Selangor peroleh manfaat besar

Iklan
Dr Mohammad Fahmi Ngah

SHAH ALAM - Selangor yang merupakan tonggak utama dalam industri halal, pendidikan Islam, inovasi dan kecerdasan buatan (Al) mendapat manfaat besar daripada Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau menyambut baik tambahan peruntukan RM25 juta kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menguruskan anak-anak teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.

Iklan
Iklan

"Selangor adalah negeri paling awal yang menubuhkan pasukan khas dalam usaha memulihkan kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Kerajaan negeri sudi bekerjasama dengan kerajaan Pusat dalam usaha memastikan kanak-kanak ini dapat kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, penambahan 1,500 kuota guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) juga merupakan langkah tepat untuk memenuhi permintaan pendidikan fardu ain yang semakin meningkat.

"Ia selari dengan rekod Selangor sebagai negeri dengan bilangan sekolah agama berdaftar tertinggi menurut data Sistem Maklumat Pendidikan Islam (Simpeni) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," ujarnya.

Iklan

Di samping itu, ujarnya lagi, langkah kerajaan memperkasakan industri halal melalui sistem MyeHALAL, pembiayaan khusus kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) halal, serta peruntukan RM20 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan membantu memperkukuhkan industri halal.

"Selangor, melalui agensi seperti JAIS dan HIS Toyyiba Sdn Bhd, bersedia menawarkan kerjasama dan pertukaran kepakaran untuk memastikan pembangunan industri ini selari dengan Pelan Tindakan Halal Selangor (Selhap) 2020-2030 menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1)," ujarnya.

Jelasnya, dari sudut inovasi dan digital pula, tambahan peruntukan kerajaan sebanyak RM50 juta berbanding RM20 juta pada tahun lepas bagi pendidikan berkaitan Al di universiti terlibat mampu merancakkan penyelidikan Al di negara ini.

"Tiga daripada empat universiti terpilih berlokasi di Negeri Selangor iaitu Universiti Malaya (Al perubatan), Universiti Putra Malaysia (Al pengkomputeran) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (Al alih bahasa).

"Hal ini secara tidak langsung akan membangunkan ekosistem teknologi Al dengan sokongan penyelidikan dan inovasi daripada universiti," ujarnya.

Beliau menambah, kerangka Insentif Pelaburan Baharu akan dilaksanakan pada suku tahun ketiga 2025 dengan menyasarkan untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang Al dan teknologi terkini mampu disokong oleh ekosistem negeri Selangor yang menggalakkan penggunaan Al dalam perusahaan kecil dan sederhana (SME) melalui belanjawan negeri 2025 yang akan dibentangkan pada November.

"Secara keseluruhan, saya yakin Belanjawan Madani 2025 akan menjadi pemangkin kepada negeri Selangor untuk terus menjadi peneraju dalam syiar agama Islam, industri halal, serta inovasi digital yang progresif," ujarnya.