KPT minta universiti awam dikecualikan bawah Akta 605

Iklan
Zambry pada persidangan Dewan Rakyat. Foto Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah meminta supaya Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) diteliti semula bagi mengecualikan universiti awam daripada tertakluk kepada setiap arahan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke atas badan berkanun.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha itu untuk memastikan supaya iklim dalam universiti awam tidak terkongkong dalam menyuarakan pandangan mereka.

Iklan
Iklan

Katanya, di dalam Akta 605, terdapat sebanyak 12 institusi yang mendapat pengecualian itu, jadi sudah sampai masanya universiti awam yang turut dikategorikan sebagai badan berkanun untuk memperoleh pengecualian serupa.

"Kita perlu melihat dalam konteks universiti awam supaya tidak terlibat dalam keseluruhan pekeliling secara umum yang diberikan kepada semua pihak dalam kategori badan berkanun.

Iklan

"Ini antara langkah yang kita sedang lakukan dan ia dianggap antara langkah ke hadapan serta radikal. Saya sedang mencuba untuk melakukan perkara ini bagi membolehkan supaya iklim dalam sebuah universiti tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berhubung langkah diambil KPT bagi memastikan insiden seperti arahan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam tidak berulang semula.

Iklan

Zambry berkata, pengecualian itu perlu diberi dengan syarat dalam tradisi keintelektualan dan kesarjanaan, seseorang yang bercakap itu tidak merapu tanpa fakta dan membuat teori yang bukan-bukan.

Tegas Zambry, buat masa sekarang beliau telah membuat teguran kepada universiti-universiti awam supaya terlebih dahulu memaklumkan kepada kementerian sekiranya ada kekeliruan atau kekaburan dalam tafsiran yang dikeluarkan di bawah Akta 605.

"Saya sentiasa mengingatkan universiti bahawa mereka mewakili sebuah negara jadi ini yang sangat penting untuk diambil perhatian.

"Lantaran itu juga selepas perkara ini timbul saya telah mengadakan mesyuarat di peringkat tertinggi untuk melihat kenapa kekangan ini berlaku dalam konteks dunia akademik kita, maka (kita sedari) halangan terbesarnya ialah kita ada Akta 605,” ujarnya.