'Saya hanya mampu berdoa supaya semuanya selamat'

Iklan
Nur Elyana Sofea menunjukkan keadaan atap rumah yang diterbangkan ribut.

KEMAMAN - Beberapa penduduk di Kampung Gong Pauh di sini berkongsi detik cemas selepas bumbung kediaman mereka diterbangkan dalam kejadian hujan batu dan ribut pada petang Rabu.

Penduduk, Mawardi Mahmud, 27, berkata, ketika kejadian dia berehat di dalam sebuah rumah kedai bersebelahan rumah pusaka keluarga sebelum terdengar ribut kuat dan hujan lebat melanda sehingga menyebabkan bumbung rumah tercabut dalam sekelip mata.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu saya terdengar angin yang kuat namun tidak berani untuk keluar dari rumah kedai.

"Alangkah terkejut apabila melihat sendiri angin yang kuat itu menerbangkan kesemua atap zink di bahagian ruang tamu dan bilik rumah pusaka keluarga ketika saya meninjau suasana di luar rumah kedai melalui tingkap.

Iklan
Mawardi menunjukkan keadaan atap rumah yang diterbangkan ribut.

"Kejadian itu berlaku begitu cepat dan pantas. Pada masa itu saya hanya memikirkan soal keselamatan diri sendiri kerana takut ribut yang kuat itu turut menerbangkan atap rumah kedai serta menyebabkan runtuhan bahagian rumah lain," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Gong Pauh di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mawardi berkata, insiden itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang dirinya menetap di kampung tersebut sejak kecil.

Iklan
Keadaan atap rumah Mawardi yang diterbangkan ribut.

"Saya menetap di rumah pusaka keluarga ini seorang diri selepas kematian bapa tujuh tahun lalu.

"Ini kali pertama kejadian ribut yang sangat kuat berlaku di sini dan ia sangat mencemaskan.

"Buat masa ini, saya tidur di rumah kedai ini sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih atap serta bumbung rumah yang mungkin mengambil masa lama," jelasnya.

Nur Elyana Sofea

Sementara itu, seorang suri rumah, Nur Elyana Sofea Zulkamiran, 19, yang kini sarat hamil tujuh bulan berkata, detik menakutkan itu berlaku apabila dia bersama anak lelakinya yang baru berusia setahun terdengar bunyi angin kuat sebelum bumbung rumahnya tercabut.

"Ketika itu berlaku hujan batu dalam tempoh tidak sampai lima minit sebelum kejadian ribut melanda. Saya memang rasa takut dan terus memeluk erat anak dengan membawanya ke ruangan lebih selamat.

"Saya rasa risau sebab tengok sendiri sebahagian atap rumah sudah tercabut diterbangkan angin yang kuat. Pada ketika itu saya hanya mampu berdoa supaya semua berada dalam keadaan selamat," ujarnya.

Keadaan atap rumah Nur Elyana Sofea yang diterbangkan ribut.

Nur Elyana Sofea berkata, meskipun atap dan bumbung rumahnya itu baharu sahaja ditukar beberapa bulan lalu namun dia tetap reda dengan perkara yang berlaku.

"Kami sudah berhabis RM1,500 untuk menukar atap baharu tersebut namun, kami anggap kejadian yang berlaku ini sebagai ujian.

"Alhamdulillah, mujurlah tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu," katanya.