Lapan barangan disenarai dalam SHMMP Deepavali 2024 - Armizan

Iklan
Armizan

KUALA LUMPUR - Lapan barangan termasuk bawang merah besar import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, berkuat kuasa tujuh hari bermula 28 Oktober hingga 3 November ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, barangan lain ialah bawang merah kecil (India) termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.

Iklan
Iklan

"Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,” katanya pada sidang media pengumuman pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, penentuan harga tersebut dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi dan pemain industri.

Iklan

”Harga maksimum yang ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my,” katanya.

Armizan berkata, pihaknya juga akan menggerakkan pegawai penguat kuasa KPDN untuk memantau harga barangan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.

Iklan

"Kita juga menggalakkan kerjasama orang awam membuat laporan, aduan dan maklum balas mengenai kepatuhan skim khususnya menerusi platform aduan disediakan KPDN, dan mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan skim harga maksimum ini dapat mencapai objektif yang disasarkan," katanya.

Beliau seterusnya menyambut baik peruntukan RM700 juta bagi memperbanyakkan saluran program kos sara hidup yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perbentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, pihaknya antara lain sedang merancang pendekatan baharu seperti program intervensi khas dalam bentuk program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) pada setiap musim perayaan.

Deepavali atau pesta cahaya akan disambut penganut agama Hindu di seluruh negara Khamis hadapan. - Bernama