KUALA LUMPUR - Kementerian Digital mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data (SKDKD) pada separuh pertama 2025.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, suruhanjaya itu akan menyelia pembangunan ekosistem data yang selamat, terjamin dan dipercayai bagi memupuk aliran data yang produktif.
"Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pemain-pemain industri tertentu dan kami mencadangkan untuk menubuhkan jawatankuasa data sementara. Saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka pada Isnin dan jawatankuasa ini akan mencadangkan struktur suruhanjaya itu.
"Mudah-mudahan dalam tempoh tiga bulan akan datang, kita akan mendapat input tentang bagaimana suruhanjaya ini sepatutnya. Setelah itu, kami akan menyediakan kertas Kabinet (mengenainya) dan membawa cadangan itu kepada Kabinet tahun depan,” katanya selepas melancarkan Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2024, di sini pada Khamis.
Kementerian berharap suruhanjaya itu akan meletakkan asas yang kukuh untuk penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan produktif pada masa kini dan di masa hadapan.
Sementara itu, Gobind turut menyatakan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) akan dilancarkan pada pertengahan Disember 2024.
"Kami akan memberikan butiran mengenai tarikh pengumumannya. Pada masa ini masih banyak kerja sedang dilakukan.”
"Kami telah mengiklankan beberapa jawatan penting dalam agensi itu. Terdapat banyak minat yang ditunjukkan. Jadi sekarang persoalannya adalah, bagaimana ia akan distrukturkan? Kami sedang mengusahakannya," kata Gobind.
Sementara itu, Sidang Kemuncak MDX 2024 telah menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri untuk membentuk landskap digital masa depan Malaysia, mengukuhkan lagi kepimpinan negara dalam inovasi digital di seluruh Asia Tenggara.
"Sejajar dengan visi kementerian yang berpandangan ke hadapan, sidang kemuncak ini menekankan keperluan mendesak untuk mengguna pakai teknologi termaju.
"Ia menyerlahkan keazaman Malaysia untuk mengukuhkan daya tahan ekonominya dan memperoleh kelebihan daya saing di pentas global melalui transformasi digital yang canggih," kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan.
Menurut MDEC, Sidang Kemuncak MDX 2024 mengalu-alukan lebih 3,000 hadirin dan peserta dalam acara dua hari dari 24-25 Oktober 2024. - Bernama