KUANTAN - Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat berkaitan ramalan cuaca daripada pihak berautoriti termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, ia susulan terdapat pihak 'terlebih pandai' cuba interpretasikan berkaitan analisis ramalan cuaca melalui media sosial kebelakangan ini hingga menimbulkan kegusaran orang ramai.
Menurutnya, individu terbabit dipercayai pernah membuat ulasan ramalan cuaca menggunakan aplikasi tertentu dan dikongsi di media sosial beberapa tahun lalu.
"Kita tidak tahu siapa dan daripada mana individu yang cuba interpretasikan analisis ramalan cuaca ini dan kita dapati dia pernah membuat perkara sama beberapa tahun lepas.
"Penyebaran maklumat cuaca tidak tepat oleh pihak tidak berautoriti perlu dihentikan kerana akan menggusarkan orang ramai," katanya.
Che Adam berkata, sebagaimana sedia maklum, perkembangan cuaca terkini terutama mengenai Ribut Tropika Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan telah ditangani MetMalaysia melalui makluman sahih dikongsikan.
Berdasarkan perkembangan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (waspada) bagi Sabah Wilayah Persekutuan Labuan yang dijangka berlaku pada Jumaat ini.
Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok video analisis ramalan cuaca oleh seorang individu yang memberi amaran kepada penduduk Kuantan agar berwaspada kerana dijangkakan daerah itu turut terkesan susulan Ribut Tropika Trami Jumaat ini.
Menurut dakwaan individu terbabit, ribut dan hujan lebat boleh berlaku antara jam 5 petang hingga 8 malam atau lebih awal.
Dakwanya, cuaca buruk itu dijangka turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk Lepar dan Pekan pada tarikh berkenaan.