KEMAMAN - Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila nyaris dihempap bumbung rumah yang runtuh dalam kejadian ribut dan hujan batu di Kemaman pada petang Rabu.
Abdullah Zawawi Yaacob, 63, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya, Wan Kharzimi Wan Abdul Manan, 57, sedang menonton televisyen bersama tiga anak mereka di ruang tamu.
"Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, hujan lebat turun secara tiba-tiba dan bunyi angin kuat menyebabkan kami cepat-cepat mematikan televisyen dan beralih ke ruang lain.
"Daripada tingkap nampak macam pusaran putih tebal di luar dan ketika itu saya sedang berdiri di ruang keluarga.
"Tiba-tiba saya rasa ada debu jatuh atas kepala dan baju. Alhamdulillah...mujur isteri sempat tarik tangan saya ke tepi kerana bumbung siling kapur dah runtuh dan hampir menghempap saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Gong Pauh di sini pada Khamis.
Abdullah Zawawi berkata, dalam kejadian itu, cermin keretanya turut pecah akibat terkena kayu yang berterbangan.
Ujarnya, kejadian itu begitu menakutkan kerana angin kuat menyebabkan banyak kayu serta atap diterbangkan selain berlaku runtuhan beberapa bahagian rumah lain.
Katanya, ketika kejadian anak lelakinya sempat melaungkan azan dan bergegas menutup suis utama yang terletak di ruang tamu.
"Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata...dan ia berlaku beberapa minit sahaja.
"Tetapi kerugian agak besar kerana melibatkan sistem pendawaian elektrik, paip dan sebagainya.
"Meskipun ada bahagian rumah yang boleh diduduki tetapi kami tak berani dan memilih untuk menetap di inap desa untuk beberapa hari ini," ujarnya.
Abdullah Zawawi menambah, kejadian itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM50,000 termasuk bumbung, sistem pendawaian, paip dan cermin kereta yang pecah akibat terkena kayu yang berterbangan.