Abu Tariq dilantik Presiden CATA

Iklan
Abu Tariq Jamaluddin

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA).

Lantikan itu dibuat bagi penggal 2024-2027 yang berkuat kuasa bermula 22 Oktober 2024 iaitu sewaktu CATA Technical Conference kali ke-44 di Mauritius.

Iklan
Iklan

LHDN dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu mencerminkan kepercayaan penuh negara-negara anggota terhadap kepimpinan Abu Tariq sebagai peneraju dalam mengemudi CATA untuk penggal 2024-2027.

"Ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap Malaysia dan LHDN tetapi juga terhadap ketokohan beliau untuk membawa pertubuhan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Iklan

"Pengiktirafan ini turut mengangkat suara Malaysia di persada dunia dalam membawa hala tuju yang dinamik sekali gus memangkin pentadbiran percukaian lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, menurut LHDN, CATA merupakan pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 47 negara Komanwel.

Iklan

Tambahnya, objektif utama CATA adalah untuk membantu negara-negara anggota mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pentadbiran percukaian.

"la merupakan pertubuhan percukaian yang terbesar di dunia mengikut bilangan keahlian pentadbir cukai.

"Sehingga kini CATA telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pemodenan pentadbiran percukaian dan penggunaan polisi, proses dan prosedur kerja yang efisien dalam kalangan negara-negara Komanwel terutamanya negara-negara membangun,” katanya.