[VIDEO] Tengah berniaga nasi lemak, pelanggan jerit 'api! api!

Iklan

SUNGAI PETANI -"Saya tengah berniaga namun tiba-tiba ada pelanggan jerit 'api! api! menyebabkan kami panik sekali gus ternampak api sedang marak di bahagian belakang kedai."

Demikian luahan peniaga nasi lemak, Noorhayati Khazali, 44, yang merupakan salah seorang penyewa daripada 15 lot kedai yang terbakar di Jalan Sungai Pasir, Kampung Masjid di sini pada Khamis.

Noorhayati menceritakan kejadian yang berlaku.

Iklan
Iklan

Ketika kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, terdapat enam pelanggan namun, dia bersama suami dan seorang lagi pekerja menyiapkan makanan serta minuman seperti biasa tanpa menyedari bahagian belakang kedai sudah terbakar.

Keadaan salah sebuah lot kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Sungai Pasir, Kampung Masjid, Sungai Petani. Foto JBPM

"Tak ingat apa dah masa tu duit atau barang, yang tau nak lari selamatkan diri tetapi dah lembik lutut. Kami gagahkan berdiri selain dibantu orang ramai cuba mengeluarkan lima buah tong gas," katanya.

Iklan

Jelasnya, mereka sebenarnya baru sahaja berehat selepas selesai membantu mangsa kemalangan yang cedera parah berdekatan gerai terbabit kira-kira jam 7 pagi hari yang sama sebelum dikejutkan dengan kejadian kebakaran.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Nooremi Ahmad, 55, menarik nafas lega apabila anak dan cucunya tidak datang ke kedai kek mereka yang musnah dalam kejadian terbabit.

Nooremi dan suami, Mohd Shukuri Kamarudin, 60, bersyukur kerana anak dan cucu tidak datang ke kedai kek mereka yang terbakar pada hari kejadian.

Iklan

"Mujur sangat, kalau tidak anak perempuan selalu akan bawa dua cucu berusia tujuh tahun dan 18 bulan ke kedai.

"Hari ini cucu ada di rumah sebab ibu mereka tidak sihat, saya tak dapat bayangkan sekiranya mereka bertiga ada dalam kedai masa kebakaran," katanya.

Katanya, kedai kek yang baharu dibuka kira-kira empat bulan lalu kini hangus dalam kebakaran namun dia reda dengan ujian yang menimpa keluarganya.

Norasyikin Mohd Mubin, 29, pula berkata, kedai vape yang diusahakan bersama keluarga musnah sepenuhnya memandangkan ketika itu ia belum lagi dibuka.

Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran membabitkan 15 lot kedai di Jalan Sungai Pasir, Sungai Petani Kedah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, sebanyak tujuh daripada 15 unit lot musnah dalam kejadian berkenaan.

"Operasi disertai anggota dari BBP Tikam Batu, BBP Amanjaya, BBP Sungai Petani, BBP Yan, BBP Kepala Batas Bertam, Pulau Pinang serta dibantu beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran yang bertungkus-lumus memadam kebakaran.

Tujuh daripada 15 lot kedai di Kampung Masjid, Jalan Sungai Pasir, Sungai Petani musnah dalam kebakaran pada Khamis.

"Tiada mangsa dilaporkan berada dalam premis sementara ada lot kedai yang masih belum dibuka ketika kejadian,"katanya.

Beliau berkata, operasi overhaul sedang dilakukan untuk memastikan tiada lagi sisa api di lokasi kejadian.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.